Hanya tinggal 150 ekor, Royal Belum benteng terakhir harimau Malaya

Hanya tinggal 150 ekor, Royal Belum benteng terakhir harimau Malaya

 

TAMAN Negeri Royal Belum di Perak mungkin akan menjadi satu-satunya benteng terakhir harimau Malaya daripada malapetaka kepupusan jika tindakan-tindakan pemuliharan di kawasan yang menjadi habitat spesis itu terus menerima ancaman penerokaan hutan serta pemburuan haram.

Taman tersebut yang dikendalikan oleh Perbadanan Taman Negeri Perak mencatatkan kejayaan dalam program konservasinya selepas merekodkan kelahiran baharu anak harimau Malaya secara semula jadi dalam habitat liarnya.

Kejayaan itu diiktiraf di peringkat antarabangsa selepas Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak Mohamed Shah Redza Hussein menerima Anugerah Antarabangsa Dr Rimington pada tahun 2020.

Habitat  Harimau Malaya

Harimau Malaya yang kini diancam kepupusan dan dimasukkan dalam senarai spesis terancam dengan berbaki kurang 150 ekor. Sepsis Harimau Malaya hanya boleh ditemui di Semenanjung Malaysia sahaja.

Habitat utama Harimau Malaya merentasi tiga landskap iaitu Belum-Temengor (Perak), Taman Negara (Pahang, Terengganu, Kelantan) dan Endau-Rompin (Johor, Pahang).

Harimau Malaya antara sembilan subspesies harimau belang di dunia dan tiga daripada subspesies itu telah diisytiharkan pupus.

harimau-8-1
Seekor Harimau Malaya yang cedera dan diselamatkan.-Foto Perhilitan

Kerajaan telahpun menubuhkan Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) bagi membendung kepupusan Harimau Malaya.

Mesyuarat pertama MyTTF bersetuju dengan Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya untuk tempoh 10 tahun bermula tahun ini melalui enam pendekatan.

Kejayaan pemuliharaan harimau di Taman Negeri Royal Belum

Taman Negeri Royal Belum mencatatkan kejayaan besar dalam pemuliharaan habitat Harimau Malaya dengan bukti sainstifik kelahiran baharu secara semula jadi lima ekor anak Harimau Malaya dari tahun 2020 hingga 2021.

shah-redza-3
Shah Redza

Shah Redza berkata, taman negeri itu sebelum ini turut berhadapan dengan kepupusan Harimau Malaya selepas jumlah spesis itu jatuh 60 peratus daripada lebih 60 ekor pada 2015 kepada lebih 20 ekor kini akibat pemburu haram.

Bagaimanapun selepas tindakan pemuliharaan seperti penguatkuasaan dan membantu menambahkan makanan dibuat jumlah Harimau Malaya kembali bertambah di taman tersebut.

“Di Taman Negeri Royal Belum kita betul-betul tunjuk kejayaan. Kita ada bukti kita berjaya membiakkan Harimau Malaya. Yang dilahirkan dalam masa 2020 hingga 2021 dari rakaman kamera-perangkap terdapat lima ekor anak harimau baharu.

“Kita buat pengawalan rondaan dengan kerjasama Orang Asli. Kita memperkasakan makanan harimau dengan menambahkan populasi rusa samba yang menjadi makanan utama harimau Malaya,” jelas beliau kepada MalaysiaGazette.

FCFB221C-5F97-48B1-B512-D8E13FAFC0A5
Sekumpulan harimau yang berjaya dirakam oleh kamera-perangkap. – Foto : Ihsan KP Perhilitan

Bagaimanapun Shah Redza berkata, kejayaan pemuliharaan Harimau Malaya di Taman Royal Negeri Belum tidak boleh disamakan dengan pemuliharaan di kawasan lain.

Faktor keluasan taman negeri yang kecil memudahkan pemantauan dibuat dengan berkesan menyumbang kepada kejayaan pemuliharaan Harimau Malaya.

Pembiakan harimau secara in-situ

Bagi mempertingkatkan bilangan Harimau Malaya dengan lebih cepat, Shah Redza gembira dengan pendekatan Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya yang diumumkan oleh MyTIFF.

Katanya, pendekatan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan konservasi ex-situ Harimau Malaya boleh mengalakkan kelahiran anak-anak Harimau Malaya secara sainstifik.

Malaysia perlu belajar daripada kepupusan badak sumbu Sumatera apabila tidak berjaya dibiakan secara semula jadi di habitan asal mereka di kawasan hutan semulajadi.

“Dulu badak sumbu Sumatera kita pun banyak dekat 1,000 ekor. Ingatkan populasi ini masih boleh membiak. Tetapi rupa-rupanya tidak. Sebab apa? Sebab dia unviable population (populasi tidak berdaya maju) sebab populasi dia sudah tua.

“Lepas itu nisbah antara jantan dan betina sudah tidak betul.  Yang betina pula banyak mengalami penyakit di saluran pembiakan.  Atas kertas jumlah populasi badak sumbu Sumatera bagus tetapi secara realiti dia sudah unviable population,” terang beliau.

Katanya, kajian boleh dilakukan terhadap  Harimau Malaya sama ada spesis tersebut boleh dibiakkan atau atau tidak.

Namun kelahiran baharu anak-anak Harimau Malaya di Taman Royal Belum menunjukkan haiwan liar itu boleh berkembang biak.

“Kita tengok populasi dia walaupun kecil tetapi viable, seperti nisbah jantan dan betina masih sihat. Jadi kita rasa populasi masih viable walaupun sikit sangat.

“Kita takut kalau populasi turun, daripada 150 ekor ke 80 ekor. Kalau turun, kita masih ada Harimau Malaya, tetapi populasi sudah tidak viable, maknanya dia sudah tidak boleh biak.

“Kalau populasi itu sudah tidak boleh biak, walaupun masih ada harimau tetapi dalam tempoh lima hingga ke 10 tahun, kepupusan tetap akan berlaku,” amaran Shah Redza.

“Kalau populasi itu sudah tidak boleh biak, walaupun masih ada harimau tetapi dalam tempoh lima hingga ke 10 tahun, kepupusan tetap akan berlaku,” amaran Shah Redza.

senoir-perang-2
Masyarakat Orang Asli turut memainkan peranan penting dalam pemuliharaan Harimau Malaya.-Foto Rimau-NGO

Selain itu penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia juga sangat penting dalam membantu menghapuskan sindiket pemburuan haram.

Polis, kata beliau mempunyai kuasa bukan sahaja menangkap orang di dalam hutan itu tetapi juga terhadap sindiket yang menjual beli pemburuan haram yang terlibat dalam pengubahan wang haram.

Kejayaan pemuliharaan bergantung sepenuhnya terhadap MyTTF

Sama ada pelan tindakan yang digariskan untuk menyelamatkan Harimau Malaya akan berjaya atau tidak, bergantung kepada seberapa pantas tindakan akan dilaksanakan oleh MyTFF.

wsc-1
Dr. Mark Rayan Damaraj

Pengarah Negara Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS) bagi Malaysia, Dr. Mark Rayan Damaraj berkata, NGO yang terlibat dalam pemuliharaan hidupan liar sememangnya mengimpikan tindakan yang melibatkan semua pihak.

Penyertaan menteri kewangan, ketua menteri dan menteri besar dari semua negeri sebagai anggota MyTFF amat penting dalam pemuliharaan Harimau Malaya.

“Begitu juga, komitmen kerajaan negeri untuk mengekalkan hutan adalah kritikal dan ia adalah penting.

“Diharapkan pasukan petugas dapat mempercepatkan pelaksanaan mekanisme yang sesuai untuk membantu atau membolehkan negeri memaksimumkan pendekatan seperti Dana Perubahan Iklim dan Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi sebagai cara bukan sahaja menyelamatkan hutan semula jadi untuk ekosistem tetapi juga untuk melindungi harimau dan biodiversiti lain untuk berkembang maju,” kata Dr. Mark.

Malaysia kini mempunyai masa yang sangat terhad untuk memulihara dan menambahkan bilangan Harimau Malaya. Nasib simbol negara itu kini benar-benar di hujung tanduk.

Sekiranya Harimau Malaya pupus kita patut menyalahkan diri sendiri kerana gagal memainkan peranan masing-masing.

Jika kita gagal melindungi Harimau Malaya dan haiwan lain daripada pupus, sebenarnya kita telah gagal untuk bertindak sebagai khalifah di muka bumi ini.