Hanya tayang tangan, wanita mampu jana pendapatan lebih RM140,000 setahun

Hanya tayang tangan, wanita mampu jana pendapatan lebih RM140,000 setahun

 

Seorang wanita di New York mampu menjana pendapatan AS$30,000 (RM140,887.50) setahun dengan hanya menunjukkan tangannya, lapor akhbar New York Post semalam.

Alexandra Berrocal mula menceburi bidang tersebut pada 2019 apabila dia menerima pelbagai tawaran sebagai model tangan sambilan untuk jenama-jenama terbesar di dunia.

Antara jenama global yang menggunakan khidmatnya termasuk YSL, Microsoft, Brandon Blackwood, Macy’s, Zales, Restoran Shake Shack, Kiss Nails dan aksesori Serena Williams.

“Saya menyerahkan portfolio saya, kemudian agensi saya kembali kepada saya sekitar 10 minit. Saya tidak sangka, nikmat kurniaan Tuhan itu wujud,” kata Berrocal.

Selain mempunyai pekerjaan sepenuh masa sebagai pereka kasut, dia memperoleh sekitar AS$750 (RM3,522.19) hingga AS$1,200 (RM5,635.50) untuk penggambaran berdurasi antara 40 minit hingga lima jam.

Sementara itu, Berrocal akan memastikan kukunya terjaga baik dan kekal lembap.

“Sebelum tidur, saya letak mentega jenama shea butter sahaja. Saya tidak menggunakan losyen khas, hanya 100% shea butter,” kata Berrocal.