Hanya kerana menagih hutang RM300 daripada rakan, lelaki dipukul sehingga retak tempurung kepala

Hanya kerana menagih hutang RM300 daripada rakan, lelaki dipukul sehingga retak tempurung kepala

 

Seorang lelaki duda telah dipukul ‘separuh mati’ oleh sekumpulan lelaki hingga menyebabkan keretakan pada tempurung kepalanya selepas tagih hutang sebanyak RM300 daripada rakannya.

Norhayati A Razak, 53, menyatakan bahawa kejadian yang berlaku pada jam 5.10 petang, 15 Julai lalu di Kampung Setanggi, Johor Bahru itu melibatkan anak sulungnya, Mohd Ahzan Husni, 35.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku, ahli keluarga cuba membantu dan mahu meleraikan pergaduhan, tetapi mereka juga turut diserang oleh kumpulan lelaki tersebut.

“Kejadian berlaku berhampiran rumah kami, ia disedari apabila terdengar jeritan Mohd Ahzan meminta tolong.

“Enam lelaki termasuk yang bertopeng memukul Mohd Azhan menggunakan cota besi dan topi keledar.

“Ketika itu Mohd Ahzan berlumuran darah terutama di bahagian kiri wajahnya serta terbaring.

“Kumpulan lelaki itu kemudian melarikan diri dari lokasi dan kami membawa Mohd Ahzan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini. Kami juga membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Majidee di sini sehari selepas itu,” katanya.

Norhayati berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan daripada Wanita Ikon Johor, merangkap Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah, di kediamannya pada Rabu.

Katanya, akibat kejadian tersebut, Mohd Ahzan terpaksa menjalani beberapa pembedahan terutama di bahagian kepala termasuk untuk mengeluarkan tempurung kepala yang retak.

Selain itu, urat kepala Mohd Ahzan juga mengalami bengkak dan daya penglihatan mata kirinya terjejas akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Buat masa ini tempurung kepalanya masih belum dapat dipasang atas faktor tertentu dan doktor menjangkakan tempoh penyembuhan Mohd Ahzan yang paling cepat adalah antara enam bulan hingga setahun, manakala yang paling lama antara satu hingga empat tahun,” tambahnya lagi.

Norhayati juga meluahkan rasa kesal kerana anaknya yang cuba membantu rakan dengan meminjamkan wang atas dasar simpati diperlakukan sedemikian rupa.

Katanya, beberapa hari sebelum insiden tersebut, rakan anaknya itu datang ke rumah meminjam wang dan berjanji mahu memulangkannya selepas mendapat gaji.

Malangnya, rakan anaknya tidak menunaikan janji apabila sudah mendapat gaji, menyebabkan Mohd Ahzan tiada wang untuk membeli susu anaknya.

“Apabila Mohd Ahzan terus menagih hutang, rakannya marah sebelum berlaku kejadian tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan memberitahu tangkapan juga sudah dilakukan.