Hanya jumpa batu nisan berlonggok, pemuda menangis kubur arwah bapa hilang

Hanya jumpa batu nisan berlonggok, pemuda menangis kubur arwah bapa hilang

 

Sudah menjadi tradisi setiap kali lebaran kita akan pulang ke kampung halaman. Walaupun sudah tiada lagi orang tua, namun ketika itulah kita akan mengambil peluang untuk menziarahi pusara mereka.

Akan tetapi perkara sedih dilalui oleh seorang pemuda yang juga merupakan penyanyi baru dikenali sebagai Reedzwann apabila mendapati kubur bapanya telah dialihkan tanpa diberitahu oleh pihak pengurusan.

 

Hal tersebut dimaklumkan oleh pemuda itu di Insta Story miliknya sambil menangis dan menunjukan batu-batu nisan yang telah dialihkan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan tanpa menyatakan hal tersebut kepada waris.

Dalam video yang dimuat naik juga, pelantun lagu Adakah Ini Mimpi menyatakan yang pihak pengurusan masjid telah melonggokkan sahaja batu-batu nisan ke tepi dan pusara bapanya juga sudah tiada.

 

“Aku baru sampai Perak… aku nak tengok kubur abah. Lepas itu aku tengok kubur abah dah tak ada. Batu nisan pun mereka susun tepi macam itu saja.”

“Kalau mereka nak tambak pun sekurang-kurangnya beritahu ahli keluarga dulu. Ini tak tahu cerita apa-apa, tiba-tiba kubur hilang. Pihak masjid tak beritahu apa-apa pun… tahu-tahu kubur abah dah tak ada. Lepas itu, mereka longgok semua batu nisan dekat tepi,” tulisnya.

 

Situasi tersebut pastinya sangat sedih untuk seseorang yang telah kehilangan orang tersayang kerana bukan selalu dapat menziarahi pusara orang tua atas tuntutan kerja dan lokasi tempat tinggal.

Ketika mempunyai kesempatan, rasa rindu terhadap mereka yang telah pergi terus bertukar menjadi lebih sedih susulan tiada lagi nisan yang dapat mengenalpasti lokasi kedudukan jenazah ahli keluarga disemadikan.