Halang laluan ambulans hingga pesakit meninggal dunia, anak pemandu Perodua Kembara mohon maaf, tampil cerita hal sebenar yang terjadi

Halang laluan ambulans hingga pesakit meninggal dunia, anak pemandu Perodua Kembara mohon maaf, tampil cerita hal sebenar yang terjadi

 

Sebuah insiden yang melibatkan pemandu Perodua Kembara yang didakwa menghalang laluan ambulans telah menjadi tular di media sosial.

Menurut posting di Facebook oleh kakitangan ambulans, pesakit yang sedang dibawa ke hospital Sri Aman, Sarawak, telah meninggal dunia akibat insiden tersebut.

Annie Andrew, isteri kepada pesakit berkenaan, Morgan Alban, telah meluahkan rasa kesal dengan tindakan pemandu terbabit. Namun, anak kepada pemandu tersebut telah tampil memberi penjelasan dan memohon maaf atas insiden tersebut.

“Saya anak kepada pemandu Perodua Kembara yang viral semalam. Saya mewakili kami sekeluarga dengan rendah hati memohon kemaafan kepada pihak puan dan keluarga. Salam takziah juga atas kehilangan orang tercinta,” kata beliau.

Beliau menjelaskan bahawa bapanya bukan sengaja menghalang laluan ambulans.

“Bapa saya mempunyai masalah pendengaran yang kronik dan disahkan oleh doktor pakar pada tahun 2017.

“Beliau tidak mendengar bunyi siren ambulans dan tetap memberi laluan kepada ambulans selepas beliau sedar, setelah pemandu ambulans menyalakan lampu tinggi beberapa kali terhadapnya,” tambahnya.

Beliau juga mengatakan bahawa mereka baru selesai menyelesaikan kes ini di Balai Polis Trafik Sri Aman dan walaupun bapanya tidak sengaja, beliau tetap dikompaun.

“Jika perlukan apa-apa, boleh terus contact saya. Mohon maaf dan salam takziah sekali lagi.”

Sementara itu, Annie menerima permohonan maaf berkenaan. Namun menasihatkan agar pemandu berkenaan tidak lagi memandu atau menggunakan alat bantuan pendengaran bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang lagi.