Hakim perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan – Sultan Nazrin

Hakim perlu bebas daripada sebarang pengaruh mahupun tekanan – Sultan Nazrin

 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah penghakiman yang telus menggambarkan sistem keadilan yang berwibawa dan tidak dibayangi dengan perasaan gusar dan gentar pada sesiapa.

Baginda bertitah dalam sistem keadilan, hakim adalah watak penting dan mempunyai peranan besar serta menjadi simbol dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman.

“Seseorang hakim perlu menghindari sebarang bentuk keraguan selain perlu bebas daripada pengaruh mahupun tekanan agar menjadi simbol dalam memastikan kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman terjaga,” titah Sultan Nazrin pada Majlis Pelancaran Jurnal Syariah Perak Al-Qanun Vol. 1 2022, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah negeri Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor.

Titah baginda, penulisan alasan penghakiman menjadi medium penilaian untuk menentukan tahap kompetensi dan kecekapan seseorang hakim kerana alasan penghakiman yang berkualiti dapat menzahirkan kemahiran hakim terbabit dalam menilai sesuatu isu dengan mengaplikasikan kepelbagaian prinsip undang-undang dan hukum syarak yang tepat sehingga keadilan dapat diberikan kepada yang berhak.

“Penulisan alasan penghakiman yang bernas dan berkualiti akan menjadi panduan dan rujukan kepada semua pengamal undang-undang. Sandaran dan justifikasi yang kukuh terhadap sesuatu isu dan penilaian serta penggunaan hukum dan prinsip undang-undang yang tepat akan menjamin kredibiliti hakim dan mengangkat sistem keadilan itu sendiri,” titah baginda.

Alasan penghakiman juga menjadi pertimbangan kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan yang diumumkan, bagi menilai kembali sama ada ingin meneruskan niat mereka untuk merayu atau sebaliknya.

Sekiranya asas dan sandaran penghakiman itu lemah, perayu berhak untuk berhujah bahawa hakim telah terkhilaf dalam penghakimannya dan memohon untuk kesnya dinilai semula di mahkamah yang lebih tinggi.

Peluang rayuan adalah hak yang dijamin oleh undang-undang, menjadi medan bagi hakim-hakim mahkamah yang lebih tinggi untuk menilai semula alasan penghakiman yang diputuskan oleh hakim-hakim di mahkamah yang lebih rendah; sama ada berlaku kekhilafan atau sebaliknya.

Titah baginda, sejarah membuktikan bahawa Rasulullah SAW mengiktiraf dan memberi ruang kebebasan kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal yang diutus sebagai wakil ke Yaman untuk berijtihad dengan kemampuan ilmunya dalam menjatuhkan hukuman sekiranya sesuatu perkara itu tidak terdapat dalam al-Quran mahupun As-Sunnah dengan baginda tidak mempengaruhi pemikiran Muaz dalam berijtihad atau campur tangan dalam penghakimannya.

Sultan Nazrin bertitah, marhum ayahanda baginda, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada suatu ketika turut pernah bertitah dalam ucapan perasmian Persidangan Undang-undang Malaysia ke-14 yang menyatakan maksud bahawa kewujudan hakim serta mahkamah dalam sesuatu kelompok masyarakat tidak membuktikan apa-apa nilai melainkan jika kualiti, kebebasan, dan kuasa entiti terbabit diambil kira.

“Sehubungan itu demi kepentingan keadilan, Beta selaku ketua agama Islam yang bertanggungjawab ke atas urusan hal ehwal agama Islam (negeri), mendukung sepenuhnya prinsip kebebasan kehakiman syariah di negeri ini,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah lagi, usaha menambah baik sistem kehakiman syariah dan memperkasakan Mahkamah Syariah termasuk melalui penerbitan al-Qanun iaitu Jurnal Syariah Perak hendaklah terus dirintis dengan harapan dapat dijadikan bahan rujukan oleh para hakim serta pengamal undang-undang.

Titah baginda, menjadi tanggungjawab Kerajaan baginda bagi membantu menyediakan keperluan latihan dan pembangunan kompetensi yang menitikberatkan aspek penguasaan ilmu dan pemantapan sahsiah termasuk dengan mempertingkatkan kemudahan pembangunan latihan dan penyelidikan, selain prasarana yang selari dengan perkembangan teknologi terkini.

“Dalam usaha mewujudkan institusi Kehakiman Syariah yang berkredibiliti dan berwibawa, pegawai-pegawai kehakiman perlu dari semasa ke semasa diberi latihan, dilengkapi kemahiran dan didedahkan dengan pengalaman agar pengetahuan dan kecekapan mereka mentafsir undang-undang dan Hukum Syarak dapat ditingkatkan.

“Kompetensi perlu sentiasa ditambah baik selaras dengan cabaran semasa dan kompleksiti kes-kes yang dikendalikan di Mahkamah Syariah pada masa kini,” titah baginda.