Hajat nenek tak kesampaian, ‘hadiah’ cucu diragut

Hajat nenek tak kesampaian, ‘hadiah’ cucu diragut

Hajat seorang nenek menghadiahkan wang RM4,000 kepada dua cucunya yang baru dilahirkan tidak kesampaian apabila `hadiah’ tersebut  dilarikan penunggang motosikal di Jalan Serindit, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Dua dekat Manjoi di sini Isnin lalu.

Difahamkan, wang tersebut dikeluarkan wanita berusia 73 tahun itu dari sebuah bank minggu lalu sebelum  diberikan kepada dua cucunya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian pada pukul 12.40 tengah hari itu berlaku ketika wanita berkenaan membonceng motosikal untuk ke kedai bersama suaminya.

Menurut beliau, seorang lelaki bermotosikal dengan memakai topi keledar bertutup penuh menghampiri dari belakang sebelum meragut beg tangan mangsa.

“Kejadian berlaku terlalu pantas sehingga mangsa dan suaminya tidak dapat mengecam suspek dan motosikal yang digunakan.

“Kedua-dua mangsa tidak cedera cuma mereka kehilangan wang RM4,000 yang mahu dihadiahkan kepada dua orang cucu,” katanya.

Menurut A. Asmadi, polis kini sedang menjalankan siasatan  bagi mengesan suspek yang dianggarkan berusia 20 hingga 30 tahun.

“Lokasi kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi melihat kejadian itu,’’ kata beliau

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Muazzammar Mohd. Noor di talian 05-245 1500 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – UO