Hairan makanan sampai lambat dan angkat call tapi ‘senyap’, rupanya rider Grab Food ni pekak dan bisu, tak jumpa rumah

Hairan makanan sampai lambat dan angkat call tapi ‘senyap’, rupanya rider Grab Food ni pekak dan bisu, tak jumpa rumah

Kalau anda biasa menempah makanan melalui perkhidmatan p-hailing seperti Grab Food, Foodpanda, BungkusIt dan sebagainya, pasti anda sudah faham tentang cabaran waktu yang dialami mereka.

Kadang-kadang waktu penghantaran yang dijangka dalam aplikasi tidak menepati dengan situasi sebenar.

Boleh jadi mereka akan terlambat kerana terpaksa menunggu lama makanan siap di restoran, barangkali ada juga yang terlewat kerana hujan lebat yang tidak mengizinkan.

Dalam masa sama, kerap terjadi juga kes penghantar makanan ataupun ‘rider’ yang terlambat kerana tidak menjumpai lokasi rumah.

Namun apa yang dialami sendiri oleh pendakwah dan penulis, Bonda Nor ini benar-benar menyentuh hati kita semua. Mari ikuti kisah ini dengan mata hati.

Tadi terasa sangat nak makan yong tau fu. Laju tangan order guna Grab Food.

Ikut sistem, dah dapat rider dan sepatutnya sampai pukul 6.15 tapi sampai 6.45 tak sampai-sampai.

Geramlah juga sebab tak suka buka pintu rumah kalau dah nak Maghrib.

Antara jam 6.15 ke 6.45 tu, banyak kali dapat call daripada nombor yang sama.

Memang biasanya saya tak angkat call kalau nombor tak dikenali. Tapi sebab ini tengah tunggu Grab Food kan, terpaksalah angkat juga takut rider susah nak cari rumah.

Angkat, senyap.

Lima minit lepas tu, dia call lagi. Saya angkat, senyap.

Ya, berulang kali jadi macam tu. Makin geramlah pulak. Main-main ke apa dia ni.

Lebih jam 7 malam, tergerak hati nak check mesej kat Grab order tu.

Ya Allah, terus sebak teramat! Bergenang air mata.

Rupa-rupanya rider tu pekak dan bisu.

Rupa-rupanya, banyak kali dia mesej saya tanya lokasi rumah nak hantar. Dia siap bagitau dia pekak dan dia bisu. Tapi saya tak semak inbox. Saya tak baca. Saya tak tahu masalahnya!

Dia call banyak kali tu sebab nak tarik perhatian saya suruh check inbox rupa-rupanya.

Allahu rabbi. Hampir sejam dia berpusing-pusing cari lokasi nak hantarkan makanan saya yang saya teringin nak makan.

Langit dah makin gelap, tapi dia masih tak tahu kat mana nak hantar makanan yang customer order. Tapi dia tetap setia tunggu dan mencuba.

Padahal bukannya banyak pun upah hantar tu, cuma RM3 saja. Tapi seksanya dia nak dapat rezeki banyak tu.

Saya sebak! Rasa bersalah sungguh!

Sebelum sistem close, sempat tangan saya tekan ‘Tips for rider’ untuk tebus rasa bersalah ini. Bagi dia nilai tips paling tinggi yang ada di situ, tapi tetap rasa tak cukup. Tetap juga rasa bersalah terlalu mencengkam hati.

Moga Allah ampuni salah sangka saya dan limpah ruahkan rezeki buat adik Grab Food tadi.

Itulah kita manusia, kadang mudah berprasangka, hanya fikir apa yang kita nak tanpa fikir apa masalah orang.

Saya tulis kat sini untuk jadi peringatan pada saya lain kali. Mana tahu jadi pada tuan puan pula suatu hari nanti, tidaklah tuan puan lakukan kesilapan yang sama macam saya hari ini.

Yang kadang kita ingat salah orang, rupa-rupanya salah sendiri. Allahu rabbi.

Perkongsian warganet

Sebak atas kejadian yang terjadi, ramai warganet lain turut menzahirkan rasa sedih mereka terhadap penghantar yang bisu dan pekak itu.

Malah ada juga yang berkongsi pengalaman hampir serupa yang dialami mereka sendiri.

Antara komen yang menarik perhatian warganet adalah daripada pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun kerana baginya, insan istimewa itu sudah ‘terlepas’ daripada cabaran dunia.

“Kenapa tak guna public phone je….”

Ada yang terlibat dalam kemalangan jalan raya bersama insan istimewa ini. Namun situasi tegang bertukar hiba apabila mendapat tahu bahawa orang tersebut rupa-rupanya orang kelainan upaya (OKU).

“Fizikal memang nampak macam orang normal tapi….”

Semoga apa yang terjadi ini menjadi pengajaran buat kita semua.

Sumber: Bonda Nor, SK