Ajak ‘follower’ hafal surah al-Mulk, Nora Danish dipuji guna media sosial sebar kebaikan

Ajak ‘follower’ hafal surah al-Mulk, Nora Danish dipuji guna media sosial sebar kebaikan

 

Usaha pelakon Nora Danish mengajak pengikut media sosial menghafal surah al-Mulk menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen.

Kata Nora atau Nora Mohd Danish Hanif, 42, dia kini sedang dalam tempoh percubaan untuk menghafal surah tersebut dan sudah berjaya mengingati 5 baris ayat.

“Hi Assalamualaikum semua, Nora sekarang sebenarnya dalam percubaan untuk menghafal surah al-Mulk.

“Saya harap dengan perkongsian video ini, membuka ramai hati orang di luar sana untuk sama-sama menghafal surah ini dengan saya.

“Saya baru sahaja hafal ayat 1 hingga 5, jom kita lumba nak sama-sama menghafal. Jom dengar saya membaca, tolong semakkan,” katanya.

Nora berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran video yang dimuat semula oleh peminatnya di laman TikTok.

Menerusi perkongsian video itu juga, pelakon drama Puteri ini turut dilihat mengalunkan bacaan ayat yang sudah dihafal.

Rata-rata netizen menyifatkan tindakan Nora itu sebagai satu inisiatif yang baik bagi mengajak orang ramai mengamati dan menghafal bacaan surah-surah al-Quran.

“Terbaik Nora gunakan pengaruh dia ke jalan yang diredai Allah. Semoga kita semua istiqamah untuk menghafal surah-surah al-Quran.

“Alhamdulillah macam inilah artis yang bagus ajak peminat sama-sama menghafal surah al-Mulk.

“Terbaik terus ajak pengikut media sosial buat kebaikan. Pahala juga mengalir kepada kita,” tulis netizen.

Untuk info, surah al-Mulk mengandungi 30 ayat dan juga disebut sebagai At Tabaarak yang bermakna Maha Suci.

Bagi individu yang menjadikan surah al-Mulk sebagai bacaan harian, di kubur kelak ia akan menjadi penghalang pengamalnya daripada diseksa