Hadi Awang mohon menghadap Sultan Perak
Istana Perak mengesahkan sudah menerima surat permohonan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini mengesahkan penerimaan surat itu tetapi tidak menyatakan tarikh untuk Presiden PAS itu menghadap baginda.
“Untuk makluman, setakat ini Abdul Hadi belum mendapat kebenaran untuk menghadap Tuanku,” katanya.
Terdahulu, PAS Perak menzahirkan permohonan maaf kepada Sultan Nazrin atas kekhilafan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang tidak mengadap sebagaimana dititahkan baginda pada Selasa lalu.
Susulan itu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata Abdul Hadi akan mengadap baginda, namun tarikh dan waktunya masih belum diketahui.
Beliau juga mengesahkan surat yang tersebar di media sosial berkenaan permohonan Abdul Hadi untuk mengadap Sultan Nazrin adalah benar.
Sebelum ini, media melaporkan tiga ADUN PAS Perak tidak jadi mengadap Sultan Nazrin pada jam 3 petang Selasa lalu.