Guru maut kereta terbabas langgar pokok

Guru maut kereta terbabas langgar pokok

 

Seorang guru maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 23.5, Jalan Ipoh – Kuala Kangsar di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 12.45 tengah hari itu, mangsa berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Pada masa sama, dua anak perempuannya berusia 10 dan 13 tahun terselamat mengalami kecederaan di muka dan kaki.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Hyundai dalam perjalanan dari Sungai Siput menuju ke Ipoh.

“Setibanya di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan serta pokok.

“Mangsa yang tersepit di tempat duduknya disahkan meninggal dunia. Mayat dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurutnya, kedua-dua anaknya telah mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.