Guru Matematik Malaysia antara 18 terbaik dunia, terpilih sertai kursus TEA Spring 2025 di AS

Guru Matematik Malaysia antara 18 terbaik dunia, terpilih sertai kursus TEA Spring 2025 di AS

 

Guru Matematik Malaysia antara 18 terbaik dunia, terpilih sertai kursus TEA Spring 2025 di AS

Bukan calang-calang pendidik apabila seorang guru matematik tempatan terpilih antara 18 guru terbaik dunia bagi menyertai kursus Program Fulbright Teaching Excellence and Achievement (TEA) Spring 2025 di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Guru Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tuanku Ja’afar, di sini, Lee Chye Mei menjadi satu-satunya wakil Malaysia selepas melalui tapisan ketat daripada ribuan pemohon sebelum terpilih ke Georgia State University.

“Pengalaman ini benar-benar membuka mata saya. Saya belajar bagaimana pelajar boleh menjadi lebih aktif, kritis dan yakin apabila guru bertindak sebagai fasilitator, bukan hanya penyampai ilmu,” katanya yang turut berpeluang mengajar di North Atlanta High School selama enam minggu.

Menurut Lee, pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar serta penggunaan teknologi secara kreatif menjadikan suasana kelas di sana lebih hidup dan interaktif.

Dalam pada itu, Lee turut mengambil peluang memperkenalkan budaya Malaysia kepada komuniti sekolah dan rakan dari negara lain.

“Bercerita mengenai Malaysia memberi saya rasa bangga yang sukar digambarkan. Ia bukan sekadar mengenai makanan atau pakaian, tetapi nilai, harapan dan semangat rakyat kita,” katanya bangga.

Lee juga menzahirkan penghargaan kepada Malaysian-American Commission on Educational Exchange (MACEE) atas peluang yang diberi.

“Tanpa dorongan mereka, saya mungkin tidak berada di sini. Mereka nampak potensi kecil yang mampu beri impak besar,” katanya lagi.

Bagi Lee, peranan guru bukan hanya mendidik di bilik darjah, tetapi membina keyakinan anak muda supaya berani bermimpi dan percaya pada potensi diri.

“Setiap kali pelajar bertanya soalan dengan yakin, itu petanda perubahan sedang bermula,” katanya.