Guru dakwa ditindas dan dibuli rakan setugas, kecewa permohonan berpindah tidak diluluskan, akan tetapi…

Guru dakwa ditindas dan dibuli rakan setugas, kecewa permohonan berpindah tidak diluluskan, akan tetapi…

 

Baru-baru ini tular di media sosial luahan ketidakpuasan hati seorang guru lelaki dari sebuah sekolah di Kabong, Sarawak, mengundang pelbagai reaksi netizen termasuk warga sekolah berkenaan.

Guru yang dikenali sebagai ‘Leman’ berasal dari Negeri Sembilan itu berkata, permohonannya untuk berpindah ke sekolah lain tidak diendahkan. Walaupun dia telah memberi alasan yang dirinya mengalami masalah kesihatan mental.

Selain itu, Leman mendakwa dia telah ditindas. Dia diberi layanan teruk, dibuli, dibebankan dengan tugas tanpa mengikut prosedur, menggunakan bahasa Sarawak semasa mesyuarat, rasis dan sebagainya.

Tidak cukup dengan itu, Leman turut menyiarkan gambar-gambar warga pendidik dari sekolah tersebut. Termasuk gambar rakan setugas bersama ahli keluarga mereka yang tiada kena mengena dalam hal itu.

Alami depresi selepas 5 bulan ditugaskan di sekolah Kabong, Sarawak

Difahamkan, Leman merupakan guru ‘one off’ bagi subjek PPKI ditugaskan di sekolah tersebut sejak 1 Mac 2022 dan hanya bekerja sehingga bulan Mei, susulan mengalami masalah depresi yang diperakukan oleh doktor daripada Hospital Kuala Pilah.

Disebabkan masalah itu, Leman tidak dapat hadir bertugas. Sepanjang tempoh 19 bulan tidak bekerja (tetapi mendapat gaji penuh), Leman mendakwa pengetua tidak mengendahkan permohonannya untuk bertukar ke sekolah lain.

Tetapi, berdasarkan beberapa gambar screenshot yang dikongsikan oleh Leman sendiri di Facebooknya menunjukkan, pengetua sekolah ada menghubungi Leman dan memintanya menyertakan dokumen berkaitan untuk tujuan rekod.

Leman mendakwa dia telah memberikan dokumen sijil cuti sakit dan laporan perubatan sebanyak empat kali.

Cuti sakit bergaji penuh hanya dibenarkan 180 hari sahaja

Dalam peraturan menetapkan, kakitangan kerajaan hanya dibenarkan mengambil cuti sakit bergaji penuh selama 180 hari sahaja. Disebabkan Leman telah mengambil cuti melebihi 180 hari, pihak sekolah telah meminta dia kembali bertugas.

Sepanjang tempoh ketiadaan guru berkenaan, pengetua memaklumkan murid-murid yang sepatutnya diberi didikan oleh Leman terjejas dan ketinggalan dalam pelajaran.

Dalam pada itu, pengetua juga menjelaskan dia telah melulus permohonan Leman untuk berpindah ke sekolah lain. Namun, untuk kelulusan permohonan tersebut bukanlah berada di bawah bidang kuasanya. Sebaliknya, pihak PPD dan JPN yang menentukan kelulusan permohonan tersebut.

Pengetua turut berkongsi mesej daripada PPD yang menyarankan Leman memindahkan temujanji perubatannya dari Kuala Pilah ke Sibu. Namun Leman tidak bersetuju dan sekali lagi mendakwa dia tertekan dengan perangai guru-guru di sekolah yang dikatakan rasis.

Imej guru tercalar

Di media sosial, ada netizen yang menggesa pihak Kementerian Pendidikan menghantar guru berkenaan kembali ke negeri kelahirannya berikutan tindakannya yang berterusan mengaibkan rakan setugas tanpa henti di media sosial.

Namun, ada yang tidak bersetuju kerana tindakan itu akan menyebabkan ada guru yang lain akan melakukan perbuatan sama dan masalah yang sama akan berulangkali berlaku.

“Kalau dia dipindahkan, ini akan membuktikan kepada dia bahawa cara yang dia gunakan itu adalah cara yang ‘betul’ dan ‘berkesan’ untuk mendapatkan apa yang dia inginkan.

“Sebaliknya, saya cadangkan agar perkhidmatan dia ditamatkan dan gaji yang telah dibayar kepada dia yang bercuti tanpa bukti surat sakit yang disahkan, minta dikembali.

“Perpindahan dia tidak akan menyelesaikan tunjang masalah utama. Bahkan berkemungkinan akan berulang lagi di masa akan datang.

“Orang sebegini dilantik tetapi tidak dihargai. Our children deserve better than this. KPM deserves better. Nanti gara-gara dia seorang, imej guru Malaysia jatuh teruk,” kata Nicholas Anderson Lim.