Guna telefon bimbit ketika memandu, anggota polis disaman

Guna telefon bimbit ketika memandu, anggota polis disaman

 

Pihak polis telah mengeluarkan saman terhadap pemandu yang memandu kereta sambil menggunakan alat komunikasi dalam kejadian di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata bahawa pemandu yang juga seorang anggota polis itu telah dipanggil untuk siasatan.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Petaling Jaya telah mengesan satu video tular di media sosial mengenai seorang pemandu yang memandu kereta menggunakan alat komunikasi di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Petaling Jaya.

“Kenderaan yang terlibat adalah sebuah kereta jenis Proton Preve,” katanya.

Menurutnya lagi, kejadian berlaku pada jam lebih kurang 9.00 pagi, semalam. Bagaimanapun, kejadian tersebut tidak melibatkan kemalangan serta kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Sementara itu, saman yang dikeluarkan kepada pemandu tersebut adalah di bawah Kaedah 17 (A) LN166/59.

Tambah Mohamad Fakhrudin, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap salah laku anggota yang melakukan kesalahan ketika menjalankan tugas.