Guna modus operandi yang sama, ramai peniaga kereta terpakai dah terkena dengan ‘Efariza’

Guna modus operandi yang sama, ramai peniaga kereta terpakai dah terkena dengan ‘Efariza’

 

Tindakan seorang wanita yang menyamar sebagai pembeli kereta terpakai kononnya mahu membeli kenderaan tersebut mendapat kecaman pengguna di media sosial yang menyifatkannya sebagai pengacau dan membuang masa pengusaha kereta terpakai.

Perkara tu didedahkan sekumpulan peniaga kenderaan terpakai di laman Facebook yang mengakui pernah dihubungi oleh seorang wanita menggunakan nama ‘Efariza’ yang bertanya tentang kereta.

“Saya Efariza, panggil Efa je, saya ada tengok iklan ini dekat Marketplace, bapa suruh cari sebuah kereta untuk beli ‘cash’ (tunai) sementara tunggu kereta ‘booking’ (tempah) tu keluar,” ujarnya.

Menggunakan modus operandi sama kepada semua peniaga, wanita berkenaan meminta peniaga terbabit menghubungi bapa dan teman lelakinya untuk berurusan lanjut, malah apabila taktiknya itu tidak menjadi, dia mula mencari alasan untuk membatalkan urus niaga.

“Kalau kereta tu kedai kereta punya, Efa tak mahu, kalau sendiri ke ‘company’ (syarikat) punya ke Efa mahu,” antara ayat yang digunakan untuk membatalkan urus niaga.

Lebih parah apabila identiti individu yang dipanggil bapa dan teman lelakinya itu merupakan orang sama dengan dirinya yang mana hanya berbeza nombor telefon.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berang dengan tindakan wanita terbabit yang sengaja mengganggu ketenteraman awam.

“Apa lah yang dia ‘ambil’, macam tiada kerja, habis semua penjual kereta dia nak mesej, akhir-akhir marahkan peniaga sebab lambat balas lima minit,” kata Huzaidi.

“Elok lah ada nampak nombor telefon, semua penjual kereta seluruh malaysia boleh dah sekat nombor dia ni, menyusahkan orang,” komen Afif Aizat.

“Ni tipu ni ayat pun macam ‘scammer’ nak beli ‘cash’ (tunai) sementara tunggu kereta baru, amboi kaya sangat awak ya beli kereta semata untuk tunggu kereta baru sampai,” ujar Putera Haq.