Guna isyarat beli tambah nilai untuk berjudi

Guna isyarat beli tambah nilai untuk berjudi

Walaupun pernah dikenakan tindakan, ejen perjudian haram, di sini, tidak pernah serik apabila dikesan masih meneruskan aktivitinya dengan taktik urus niaga secara tertutup di bilik khas.

Pekerjanya akan menggunakan kod atau isyarat tertentu untuk kegunaan pelanggan, dan mampu mengaut keuntungan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.

Bagaimanapun, kegiatan enam premis itu tidak bertahan lama apabila bekalan elektrik mereka dipotong dalam operasi yang dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 4 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, enam premis itu menjadi ejen perjudian dalam talian dan aktiviti tambah nilai untuk judi.

Katanya, ia berselindung di sebalik premis perniagaan runcit dan telekomunikasi di lokasi berasingan di sekitar Pantai Remis, Lumut dan Sitiawan.

Menurutnya, berdasarkan rekod enam premis itu pernah diserbu dan dikenakan tindakan antara tiga hingga lima kali sebelum ini, namun mereka masih tidak serik dan terus menjalankan aktiviti sama.

“Kita percaya keuntungan besar yang diperoleh hasil daripada jualan itu yang mencecah antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan dengan kadar komisen jualan sebanyak 30 peratus menjadikan mereka seolah-olah tidak takut dan terus aktif.

“Mereka juga sudah dikompaun atas kesalahan sama. Kita mendapati mereka akan memantau persekitaran sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada dikesan polis, selain disyaki menggunakan isyarat tertentu untuk urusan itu,” katanya ketika ditemui. semalam.

Nor Omar berkata, susulan itu, polis mengambil tindakan memotong bekalan elektrik enam premis berkenaan mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – HM