Goodyear umum penutupan operasi di Malaysia, 550 pekerja bakal terjejas

Goodyear umum penutupan operasi di Malaysia, 550 pekerja bakal terjejas

 

Syarikat pengeluar tayar terkemuka dunia, Goodyear yang sudah lama bertapak di Malaysia dilapor akan menutup operasi kilangnya di Shah Alam, Selangor.

Menurut kenyataan dalaman yang tular di media sosial, penutupan kilang berkenaan bermula pada 30 Jun dan akan selesai sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madaran berkata, penutupan berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah yang diambil dalam program transformasi, Goodyear Forward.

Katanya, langkah yang diambil bertujuan mengoptimakan operasi syarikat berkenaan ke arah mencapai pengurangan kos operasi sebanyak USD 1 bilion menjelang 2025.

Selain itu, ia juga bagi memastikan Goodyear kekal sebagai antara jenama pengeluar tayar utama dunia.

Goodyear tutup kilang di Shah Alam, 550 pekerjanya bakal terjejas

“Seperti mana-mana penutupan kilang, akan ada pihak yang terjejas, dan dalam penutupan kilang kami, kira-kira 550 kakitangan kilang di Malaysia akan terjejas.

“Kami kekal komited untuk melayan semua kakitangan kami dengan cara terhormat dan telus sepanjang proses penutupan ini berjalan,” katanya.

Nathaniel dalam pada itu menegaskan bahawa keputusan untuk menutup kilang berkenaan bukanlah satu perkara yang mudah.

Namun, keputusan itu tidak dapat dielak bagi memastikan kepentingan jangka panjang perniagaan dan pelanggan Goodyear dapat dipelihara.

“Terima kasih di atas fokus berterusan anda semua dalam memberikan yang terbaik kepada kilang ini dan kejayaan berterusan Goodyear,” katanya lagi.

Goodyear masuk pasaran tempatan sejak era Tanah Melayu dan kilang di Shah Alam beroperasi pada 1972

Menurut Careta, Goodyear memasuki pasaran negara ini sejak sebelum merdeka pada 1929. Manakala kilangnya di Shah Alam mula beroperasi pada 1972.

Kemudian pada 1985, Goodyear menjadi pembekal tayar kepada kereta nasional pertama negara, Proton Saga.

Disebalik berita penutupan itu, Careta berkata, Goodyear akan kekal dalam pasaran tempatan melalui Goodyear Malaysia. Manakala produk-produk yang dijual akan dibawa masuk daripada kilang-kilang lain di Thailand, Indonesia, China dan Taiwan.