Goh Sze Fei-Nur Izzuddin juara terbuka Jepun, benam juara dunia
Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencipta kejutan pada Terbuka Jepun 2024 apabila melakar gelaran sulung mereka musim ini dengan menewaskan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.
Kemenangan 21-19, 21-15 ke atas Min Hyuk-Seung Jae dalam kejohanan berstatus Super 750 itu secara tidak langsung memadam kekecewaan gandingan ke-12 dunia berkenaan selepas tewas pada final Kejohanan Badminton Asia April lalu.
Aksi set pertama di Yokohama Arena berlangsung penuh sengit dengan menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin mendahului lawan sebelum dipintas gandingan keempat dunia itu di pertengahan permainan.
Min Hyuk-Seung Jae pada satu ketika mendahului permainan sebelum Sze Fei-Nur Izzuddin kembali mempamerkan kebangkitan namun gandingan Korea Selatan itu berupaya untuk mengikat kedudukan 15-15.
Kedua-dua beregu saling bertukar mata sebelum Sze Fei-Nur Izzuddin ‘memecut’ untuk memastikan kemenangan memihak kepada mereka dengan keputusan 21-19.
Bersambung set kedua, Sze Fei-Nur Izzuddin meneruskan momentum kecemerlangan mereka dengan mendahului permainan sehingga kedudukan 11-8.
Mereka terus menjarakkan jurang mata di hadapan sebelum memuktamadkan kemenangan dengan keputusan 21-15 sekali gus membawa pulang hadiah wang kemenangan AS$62,900 (RM274,000).
Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki negara meraih gelaran pada Terbuka Jepun adalah menerusi gandingan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng pada tahun 2002.
Semalam, Persatuan Badminton Malaysia mengesahkan mereka menerima permohonan Sze Fei-Nur Izzuddin untuk bergerak secara profesional bermula 1 September ini.