Gitaris band Radja kantoi ‘fake playing’, didakwa guna audio milik artis Austria tanpa izin
Bintang gitaris Indonesia, Moldy dari kumpulan Radja, terpalit dengan tuduhan mencuri audio milik pencipta kandungan dari Austria, Simon Eichinger.
Menurut laporan Aula Musik Indonesia, tuduhan ini mencetuskan kontroversi apabila Simon mendakwa bahawa Moldy telah menggunakan audionya untuk satu kandungan Instagram di mana Moldy kelihatan sedang memainkan lagu “Another Day” dari kumpulan legenda, Dream Theater.
Dalam video penjelasan di YouTube, Simon Eichinger dengan tegas membedah isu ini, menjelaskan bagaimana dia menyedari audio yang digunakan oleh Moldy adalah hasil kerjanya sendiri.
Simon mendedahkan bahawa dia mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila ramai netizen menghantar mesej memintanya melihat video yang dimuat naik oleh Moldy.
“Ada orang Indonesia bermain Another Day from Dream Theater, dan ada sesuatu yang aneh sejak awal,” kata Simon.
Beliau turut menambah, “Vibrato dan banyak perkara tidak sepadan dengan audio.”
Setelah menonton video Moldy berkali-kali, Simon yakin bahawa audio yang digunakan adalah miliknya.
Beliau mengingatkan penonton bahawa ini bukan kali pertama isu permainan palsu atau ‘play miming’ berlaku, tetapi kali ini ia melibatkan seorang pemuzik yang terkenal di Indonesia.
“Dia benar-benar mencuri audio saya,” kata Simon.
Moldy, yang merupakan anggota kumpulan Radja, tidak menyangka menerima kecaman hebat daripada Simon dan para peminat antarabangsa.
Malah, apabila isu ini mula tersebar, ada sebahagian peminat Indonesia tampil mempertahankan Moldy di media sosial.
Simon bagaimanapun bertegas untuk menyatakan kebenaran dengan menyiarkan video penjelasan di YouTube.
“Ada yang cuba mempertahankannya melalui komen, saya cuba cari semula, dan ternyata dia adalah pemain gitar terkenal dari kumpulan Radja,” jelas Simon.
“Apa pun alasannya, apa yang dilakukan oleh Moldy adalah mencuri dengan bermain palsu.”
Kenyataan ini bukan sahaja mencetuskan perdebatan tentang etika dalam dunia muzik, tetapi juga membuka mata banyak pihak mengenai betapa pentingnya menghormati hak cipta.
Simon mengakhiri penjelasannya dengan memberikan nasihat tegas, “Pengajaran moralnya ialah, jangan jadi seperti dia.”