Gesa siasat semula kes kematian baby Adam jagaan Rumah Bonda

Gesa siasat semula kes kematian baby Adam jagaan Rumah Bonda

 

Pejuanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meminta polis supaya membuka semula kertas siasatan membabitkan kematian seorang bayi lelaki berusia 10 bulan bernama Muhammad Adam Rizqi Abdul Azim atau Baby Adam dua tahun lalu.

Ketua Pejuanita Wilayah Persekutuan, Bibi Sunita S Khan, berkata kematian Baby Adam pada 3 Mei 2020 didakwa ada kaitan dengan isu penderaan di pusat perlindungan Rumah Bonda di Taman Setapak di sini.

Setiausaha Pejuang Parlimen Setiawangsa itu juga mendakwa, ada keraguan terhadap laporan kematian Baby Adam yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) serta kaitan dengan latar belakang sejarah penyakitnya.

“Kami terpanggil untuk membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa membuka semula kes kematian Adam kerana ketika kejadian, kami percaya kematian anak syurga itu tidak diambil kira dan diperiksa secara terperinci untuk mengetahui sebab dan punca kematiannya.

“Apabila kes penderaan membabitkan Bella kini masuk perbicaraan di mahkamah dan menjadi topik hangat, berita kematian Baby Adam juga tular sejak kebelakangan ini kerana dia juga dikatakan diasuh di pusat perlindungan Rumah Bonda di bawah pentadbiran Cik Bainun,” katanya ditemui di hadapan Balai Polis Setiawangsa, hari ini.

Katanya, Pejuanita percaya kes kematian Adam adalah kes yang perlu dibuka semula dan disiasat segera kerana laporan bedah siasat tidak dimasukkan untuk mengetahui punca sebenar kematian.

Dalam laporannya juga, Bibi Sunita turut menyatakan dakwaan seorang wanita bernama Zurianty Sudin yang menyatakan kemungkinan kematian Baby Adam turut mempunyai kaitan dengan isu penderaan membabitkan Rumah Bonda.

Dalam perkembangan sama, Bibi Sunita mendakwa Adam ketika dimasukkan di pusat jagaan itu berada dalam keadaan sihat dan berisi namun semasa kematiannya dia kelihatan amat kurus sehingga menimbulkan rasa curiga.

Justeru pihaknya menuntut keadilan dan ingin mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sama ada wujud ketirisan di jabatan berkenaan yang memberikan kebenaran terhadap rumah perlindungan Rumah Bonda.

“Kita sepatutnya melindungi anak-anak ini tetapi malangnya anak anak ini telah didera dan kita tidak boleh menafikannya sebab terlampau banyak bukti dan saksi sudah tampil ke depan.

“Kita bukan sahaja mahu kes Baby Adam dibuka dan disiasat semula, malah kita juga khuatir kemungkinan besar banyak lagi penderaan membabitkan anak-anak syurga ini berlaku di rumah penjagaan (Siti Bainun) sebelum ini yang memerlukan tindakan segera.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis itu.

“Ya, saya sahkan bahawa pada 19 April 2022 jam lebih kurang 10.30 pagi tadi pihak polis ada menerima satu laporan polis oleh seorang wanita yang mewakili NGO Pejuang Wilayah Persekutuan di Balai Polis Setiawangsa dan laporan ini adalah berkaitan kematian seorang bayi di bawah jagaan Rumah Bonda yang meninggal dunia pada 3 Mei 2020.

“Pengadu mendakwa kematian bayi itu disyaki ada unsur penderaan seperti yang berlaku kepada adik Bella maka pihak polis akan menjalankan siasatan rapi berkaitan aduan ini agar perkara ini dapat dijelaskan dengan baik terhadap masyarakat,” katanya.

Ketua Pejuanita Wilayah Persekutuan, Bibi Sunita S Khan (tengah) membuat laporan di Balai Polis Setiawangsa supaya dibuka semula siasatan kes Baby Adam yang dipercayai meninggal dunia akibat penderaan di sebuah rumah perlindungan.