Genting Hong Kong: Najib perlu jelaskan proses kelulusan pinjaman RM2.5 bilion

Genting Hong Kong: Najib perlu jelaskan proses kelulusan pinjaman RM2.5 bilion

 

PERIKATAN Nasional (PN) Johor mendesak Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kedudukan sebenar proses kelulusan pinjaman RM2.5 bilion tanpa cagaran kepada syarikat berkaitan judi Genting Hong Kong pada 2012.

Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihin Badri, berkata selaku Perdana Menteri dan merangkap Menteri Kewangan ketika itu, Najib pasti mendapat nasihat daripada Bank Negara dan Kementerian Kewangan mengenainya.

Beliau berkata, ia kerana kaedah pinjaman berkenaan adalah tidak wajar, malah berisiko tinggi berikutan amaun yang diberikan terlalu besar.

“Walaupun dilaporkan kelulusan pinjaman itu bukan ditentukan Kementerian Kewangan (MOF) atau pemegang saham namun perlu diingat bahawa Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pemegang saham di dalam bank yang terlibat adalah agensi kerajaan di bawah seliaan MOF.

“Justeru, Najib perlu ada kebertanggungjawaban dalam isu ini kerana ia melibatkan pinjaman menggunakan wang rakyat dan pencarum dengan satu jumlah yang amat besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun pemegang saham dikatakan tidak terlibat di dalam operasi harian sesebuah syarikat, tidak bermakna Menteri Kewangan tidak boleh menegur soal syarat pinjaman jika didapati rapuh atau berisiko tinggi kepada bank.

“Tambahan pula, pemegang saham bank itu adalah agensi atau syarikat berkaitan kerajaan yang dipantau MOF maka Menteri Kewangan sewajarnya perlu lebih sensitif dan perlu ada kebertanggungjawaban ke atas kelulusannya,” katanya, memetik Malaysiapost.

Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan menjelaskan isu tiga bank Malaysia sebagai ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong Ltd bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Anwar berkata, hal itu tidak boleh didiamkan terutama oleh pemimpin parti Melayu dan Islam.

Susulan itu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa isu pinjaman tanpa cagaran bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sektor perbankan.

Beliau berkata, bank-bank boleh meluluskan pinjaman tanpa cagaran berdasarkan kesanggupan bank tersebut mengambil risiko pada peringkat dalaman (risk appetite), penilaian kredit yang memenuhi kriteria dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman.