Dianggap tak sesuai dengan kempen ‘Geng Subuh macam Jumaat’, netizen kesal lihat Alif Satar joget dengan wanita
Baru-baru ini, artis versatil, Alif Satar telah menarik perhatian netizen apabila video dia bersama dua pelakon wanita Sophia Albarakbah dan Nelissa Nizam tular di media sosial.
Dalam video tersebut kelihatan Alif yang sedang menari bersama dua wanita itu. Namun, Alif menegaskan bahawa tiada sebarang sentuhan yang berlaku ketika merakam video promosi filem terbaharu, Reeza GTR, baru-baru ini.
Alif Satar atau nama lengkapnya Muhammad Alif Bin Mohd Satar berkata dia masih tahu batas yang perlu dijaga terutama ketika bersama wanita bukan mahram.
Saya buat promosi filem Reeza GTR yang akan ditayangkan pada 17 Oktober ini.Saya sudah tahu apa batasan dan pelakon wanita itu juga tahu batas.Mereka tahu perlu jarakkan diri walaupun saya tak suruh. Tapi pasukan pemasaran mungkin ada cara lebih baik untuk mempromosikannya.
Rata-rata warga maya beranggapan tindakan Alif tidak selari dengan imej yang dibawa dalam meluaskan kempen ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ yang dilaksanakan sejak tahun lalu.
Kalau orang kaitkan dengan kempen Geng Subuh Macam Jumaat, itu memang tanggungjawab sebagai Muslim dan saya bangun pagi memang akan solat subuh.
Saya tak cakap bila buat kempen ini maka akan terlepas daripada kesilapan. Saya tak boleh anggap begitu.
Tapi, secara peribadi, saya tahu batas perlu dijaga. Kalau tengok betul-betul video, memang tak bersentuhan dan jarak antara kami jauh. Jadi, terpulang kepada mereka dengan pendapat masing-masing.
Alif berkata, kedua-dua pelakon wanita itu juga sudah tahu ‘pantang larang’ sebelum mereka melakukan video itu bersama-sama.