Geng Kattu curi burung ditahan

Geng Kattu curi burung ditahan

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam serbuan itu kedua-dua suspek masing-masing berusia 24 tahun yang dikenali sebagai Geng Kattu berjaya ditahan.

Menurutnya, dengan penangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan 14 kes jenayah yang dilaporkan sepanjang tahun lalu membabitkan samun, curi basikal, pecah rumah, kedai dan kes kehilangan burung.

“Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan seperti enam telefon bimbit, empat sangkar burung bersama dua burung murai batu, tiong emas dan bayan; tiga parang panjang, sebuah motosikal Yamaha LC 135 dan pelbagai lagi barangan yang dipercayai hasil kegiatan jenayah yang dilakukan.

“Kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai sekitar RM20,000.

“Polis kini dalam usaha mengesan saki-baki kumpulan itu termasuk mendapatkan semula barangan kes iaitu sebuah basikal berjenama yang dijual di Kuala Lumpur dengan harga RM800,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Menurutnya, kumpulan itu menyasarkan kawasan perumahan yang sunyi serta rumah tidak berpenghuni.

“Kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah ditahan reman sehingga esok dan proses sambung reman akan dibuat bagi meneruskan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 393, Seksyen 379 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan, “katanya. – HM