Geng ‘H’ dikecam selamba masak mi segera di stesen minyak Genting Highlands

Geng ‘H’ dikecam selamba masak mi segera di stesen minyak Genting Highlands

 

Umum mengetahui terdapat pelbagai perkara yang tidak boleh dilakukan apabila berada di kawasan stesen minyak.

Antara perkara yang tidak boleh dilakukan seperti menggunakan telefon bimbit dan juga segala jenis bahan api kerana ia boleh mengundang kepada kebakaran, letupan dan sebagainya.

Meskipun sudah berulang kali perkara ini dipesan dan nasihat diberikan namun masih ada yang berdegil dan mengambil sikap tidak acuh akan amaran yang diberikan.

Perkara sama turut dilakukan oleh sekumpulan individu apabila dilihat dengan selamba memasak mi segera di sebuah stesen minyak dipercayai di Genting Highlands.

Menerusi video yang tular di X, kelihatan sekumpulan individu wanita dan lelaki dilihat duduk berdekatan stesen minyak sedang menikmati mi segera yang baru dimasak.

Malah apa yang menjadi perhatian, beberapa wanita turut dilihat memasak mi segera berkenaan dengan menggunakan sebanyak dua dapur gas mudah alih (portable stove) berdekatan stesen terbabit.

Mereka juga turut meletakkan beberapa meja kecil dan juga kerusi ‘healing’ semasa proses memasak dilakukan.

Bukan hanya itu, kelihatan banyak kenderaan diparkir di kawasan stesen minyak berkenaan yang secara tidak langsung membuatkan ia kelihatan seperti sesak sebelum kedengaran bunyi siren polis menghampiri lokasi tersebut.

“Sambung makan dulu, benda dah masak.

“Huru hara, makan jap,” kata perakam dalam video berkenaan.

Turut kelihatan kumpulan berkenaan makan dengan penuh berselera seolah-olah tidak mengetahui tindakan memasak dengan menggunakan bahan api berdekatan stesen minyak itu boleh mendatangkan bahaya.

Melihat di ruangan balas, ramai yang mengecam kumpulan berkenaan serta menyifatkan ia satu tindakan yang tidak bijak.

Malah ada juga yang meminta pihak stesen minyak dan pihak polis untuk mengambil tindakan.