Geng Ah Fatt menyamar polis, samun tumpas

Geng Ah Fatt menyamar polis, samun tumpas

Sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Ah Fatt yang aktif melakukan samun dengan cara menyamar sebagai anggota polis tumpas selepas 14 ahlinya termasuk dua wanita ditahan polis dalam beberapa serbuan sejak Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kesemua mereka termasuk ketua kumpulan berusia antara 20 hingga 39 tahun itu dikesan aktif melakukan samun, menyamar polis dan pecah rumah sejak Ogos tahun lalu.

“Ketua kumpulan yang dikenali sebagai Ah Fatt dipercayai aktif merekrut ahli baru dan melakukan aktiviti jenayah secara berkumpulan dengan menggunakan motosikal dan kereta yang berlainan.

“Modus operandi yang digunakan mereka adalah dengan menyamar sebagai anggota polis apabila memakai vest polis dan gari bagi menakutkan mangsa sebelum bertindak menyamunnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.

Tambah Osman, pihaknya berjaya merampas lima buah kereta, sebuah motosikal, sepucuk pistol tiruan, dua bilah parang panjang, sepasang gari, sehelai pakaian polis, vest polis (2), telefon bimbit (21) dan dua peket dadah jenis heroin serta 570 biji pil kuda dengan nilai rampasan sebanyak RM600,000.

“Dengan tertangkapnya ahli Geng Ah Fatt ini termasuk ketuanya, polis percaya dapat menyelesaikan 25 kes samun, menyamar polis dan pecah rumah di sekitar Perak dan Selangor.

“Siasatan mendapati semua kereta dan motosikal yang dirampas pernah dilaporkan hilang di sekitar Perak dan Selangor sebelum ini,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati ksesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Semua suspek kini ditahan reman sehingga 14 Februari depan dan polis masih mengesan baki ahli kumpulan mereka yang masih bebas.

“Mereka semua disiasat mengikut Seksyen 395/397, Seksyen 170, Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. – KO