Gencatan politik belum selamatkan Peja di Perak

Gencatan politik belum selamatkan Peja di Perak

Rasa tidak puas hati Umno Perak terhadap kepimpinan dan tindakan politik Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak, Ahmad Faizal Azumu masih belum reda meskipun Presiden Umno dalam satu kenyataan menganjurkan kepada genjatan politik semalam.

Menurut Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz dalam satu kenyataan kepada Free Malaysia Today berkata, perselisihan di Perak belum boleh diselesaikan walaupun ahli Umno di negeri itu akan mengikut keputusan Zahid.

Katanya lagi, Umno Perak akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk membincangkan perkara itu, selain menambah beliau mahu mengambil kira perasaan PPBM mengenainya.

Antara perkara yang menjadi pertelingkahan antara Umno dan PPBM di Perak adalah mengenai pelantikan jawatan-jawatan politik yang dibuat tanpa rundingan.

“Kita hanya mahu masalah di Perak diselesaikan, seperti pelantikan Adun dan pelantikan ketua kampung tanpa rundingan.”kata Nazri.

Beliau merujuk kepada pelantikan Adun Umno, Aznel Ibrahim sebagai setiausaha politik Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang dikaitkan dengan berita mengenai penghijrahan Umno ke PPBM.

Dalam pada itu, ketegangan antara PPBM dan Umno turut melibatkan beberapa perkara yang menjejaskan imej Umno meskipun masalah yang timbul berpunca daripada keputusan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.

Mengenai hubungan dengan Pas, beberapa tindakan Pas yang dilhat condong kepada PPBM turut kurang disenangi Umno dan keadaan tersebut membuatkan hubungan mereka semakin renggang.

Untuk rekod, Umno mempunyai bilangan kerusi terbanyak di negeri ini iaitu 25 kerusi berbanding PPBM (5 kerusi) dan Pas (3 kerusi). – beritaperak