“Genapkan 30 hari dengan yakin” – Dakwa anak bulan tak kelihatan, ‘ahli agama Facebook’ gesa teruskan berpuasa

“Genapkan 30 hari dengan yakin” – Dakwa anak bulan tak kelihatan, ‘ahli agama Facebook’ gesa teruskan berpuasa

 

Ketika seluruh negara seharusnya meraikan 1 Syawal hari ini, ada pula golongan yang mendakwa Aidilfitri sepatutnya disambut bermula esok.

Berkongsi perkara itu di Facebook, seorang wanita yang menggunakan nama Awin Sultan mendakwa, anak bulan tidak kelihatan di pandangan mata kasar semalam, justeru hari ini dianggap sebagai hari terakhir Ramadan.

Lebih membingungkan, kenyataan dibuatnya menerima sokongan ramai, dan semuanya sepakat untuk terus berpuasa.

Dakwa wanita tersebut, perkara itu sesuai dengan sabda Rasulullah SAW.

“Ye, sesuai dgn sabda Nabi SAW, kalau tertutup dengan awan, hujan, mendung, tak nampak dengan mata orang awam kebanyakan, maka cukupkan/sempurnakan (puasa) jadi 30 hari,” katanya, menjawab soalan seorang netizen yang memohon kepastian berhubung perkara itu.

Dakwa Awin lagi, dia dan kumpulannya tidak menerima penampakan anak bulan yang terlalu samar.

“Maaf kami tak terima kesaksikan kenampakan ‘anak bulan hantu’ yang terlalu samar, terlalu halus yang tidak dapat dilihat dengan mata manusia normal,” katanya.

Pendapatnya disokong Muhammad Amirul Sarkhawi yang berkata, ia adalah sunnah Rasululllah SAW.

“Genggam sunnah kuat-kuat. Insya Allah. Dalam sunnah, ada kejayaan. Minta petunjuk dekat Allah Ta’ala. Rasa tak senang. Pagi ni sahur. Nanti Khamis boleh buat solat sunat raya antara family. Cari text khutbah. Ikut rukun. Selesai,” katanya.

Menurut Getaran, ada juga kalangan pengikutnya menganggap diri mereka sebagai golongan terpilih yang bertuah kerana ‘menerima kebenaran’.

Menggunakan nama Putra Andy dia berkata, individu yang terpilih mempelajari ilmu berkenaan harus ‘menyimpannya’ dengan sempurna.

“Yang mana terpilih, pegang kejap-kejap ilmu ni…Nabi Muhammad SAW tinggalkan kita Al-Quran dan sunnahnya untuk diikuti,” katanya.