Genap 100 hari eskalator rosak tak dibaiki, pengguna geram sampai letak ucapan takziah & kubur

Genap 100 hari eskalator rosak tak dibaiki, pengguna geram sampai letak ucapan takziah & kubur

Masalah eskalator rosak di stesen-stesen pengangkutan awam nampaknya bukan sahaja berlaku di Malaysia, namun ia juga terjadi di negara jiran kita iaitu Indonesia.

Baru-baru ini, sebuah foto yang menunjukkan eskalator rosak di Indonesia untuk satu tempoh yang lama menyebabkan ramai geram sehingga menyebabkan ada yang meletakkan ucapan takziah beserta kalungan bunga di kawasan eskalator rosak itu.

Dalam ucapan takziah itu, dapat dilihat bahawa ucapan ‘Turut Berduka Cita Atas Wafatnya Eskalator Stasiun Bekasi’ oleh penduduk Bekasi, Indonesia.

Difahamkan, eskalator yang rosak itu terletak di Stesen Kereta Api di Bekasi, lapor Kompas.com.

Dapat dilihat dalam gambar yang tular itu bahawa terdapat notis bahawa eskalator tersebut dalam pembaikan dan pengguna stesen itu perlu menggunakan tangga biasa untuk keluar atau masuk ke stesen berkenaan.

Dalam foto yang sama juga, kubur kecil yang diperbuat daripada kotak turut diletakkan di eskalator untuk menandakan ‘pemergian dan kematian’ eskalator terbabit.

Pada ‘batu nisan’ kubur itu pula, telah ditulis “Rip (Rest in Peace) Eskalator Stasiun Bekasi beserta tahun eskalator itu lahir dan tahun ia wafat atau rosak.

Difahamkan, setakat 31 Januari lalu, menurut perkongsian pengguna media sosial X, eskalator itu masih belum dibaiki.

Dekat Malaysia pun nampaknya kena buat jugak ni sebab dekat pusat beli belah dan stesen pengangkutan negara kita pun ada eskalator yang dah lama rosak tapi tak dibaiki.