Gempar! Tular video dedah dakwaan data kes Covid-19 dimanipulasi
Suhakam perlu menyiasat dakwaan berlakunya manipulasi data dan makluman umum kes Covid-19 yang dibuat dalam suatu video viral, kata Pengarah Komunikasi Wanita PKR Loh Ker Chean.
“Adalah penting kesahihan pendedahan klip video tersebut disiasat dan dikenalpasti oleh pihak ketiga iaitu Suhakam.
“(Ini) kerana dakwaan tersebut menuduh kerajaan Muhyiddin melanggar hak asasi manusia dan memperlekehkan nyawa warganegara sepanjang pemerintahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” kata Loh pada hantaran di Facebook.
Dia merujuk dakwaan krisis Covid-19 yang dihadapi oleh kakitangan hospital di Lembah Klang melalui klip video terbitan Projek Bangsa Malaysia bertajuk “Frontliners Reveal Truth About the Covid-19 Crisis in Klang Valley Hospitals.”
Menurut Loh, antara tuduhan dalam video itu termasuklah berlakunya manipulasi data dan makluman umum tentang situasi Covid-19 yang didakwa “selama ini adalah jauh lebih rendah daripada realiti.”
Video itu juga, kata Loh mendakwa kemungkinan pelanggaran hak asasi petugas barisan hadapan.
“Pelanggaran hak asasi manusia frontliners dan hak pekerja oleh majikan seperti petugas tidak diberikan masa rehat yang mencukupi dan terdedah kepada risiko jangkitan virus Covid-19,” katanya merujuk dakwaan tugasan pada saat akhir sering diberikan kepada doktor kontrak.
Video itu terbitan Projek Bangsa Malaysia itu disiarkan di Youtube semalam dan sejak itu telah mendapat 400,000 tontonan yang memaparkan rakaman audio didakwa petugas barisan hadapan yang menggambarkan keadaan sebenar krisis kesihatan semasa.
Projek Bangsa Malaysia merupakan inisiatif Abim dan kumpulan belia Projek Wawasan Rakyat.
Inisiatif ini pada mulanya menganjurkan penstriman langsung pada 9 Julai untuk petugas barisan hadapan perubatan di Lembah Klang menyuarakan kebimbangan mereka dan pengalaman peribadi mereka bekerja di lapangan.
Loh juga mendakwa antara masalah yang dihadapi oleh petugas barisan hadapan termasuk kekurangan kakitangan perubatan, bekalan ubatan khas yang tidak mencukupi untuk merawat pesakit Covid-19, kekurangan tangki oksigen dan kekurangan peralatan perubatan.
“Kami tidak sabar untuk mengemukakan cadangan untuk disampaikan dalam mesyuarat belanjawan untuk mendapatkan lebih banyak tangki oksigen.
“Kami memerlukannya sekarang! Apabila kami mengumpul dana sendiri, kami diberitahu untuk menghentikannya.
“Ini sangat melemahkan semangat,” kata petugas barisan hadapan yang tidak dinamakan dalam video itu.
Loh berkata Muhyiddin dan anggota kabinetnya wajib bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penderitaan dialami oleh rakyat dan nyawa yang terkorban akibat wabak Covid-19 dengan mengambil tindakan susulan atas sebarang hasil siasatan Suhakam nanti-.
“Dakwaan ini bukan sahaja membuktikan kegagalan kerajaan Muhyiddin dalam memerangi penularan wabak Covid–19 selama 17 bulan ini tetapi juga menonjolkan sikap menteri- menteri yang tidak berintegriti,” dakwanya.
Hari ini, Kementerian Kesihatan melaporkan 11,079 kes Covid-19 baru – jumlah kes harian tertinggi – dengan jumlah jangkitan keseluruhan mencapai 855,949 kes di seluruh negara.
Sumber: Malaysiakini