Gegar Vaganza didakwa memalukan artis, Fazley Yaakob tempelak kenyataan penyanyi ‘otai’
Gegar Vaganza didakwa memalukan artis, Fazley Yaakob tempelak kenyataan penyanyi ‘otai’
Gegar Vaganza (GV) merupakan sebuah rancangan televisyen realiti muzik Malaysia terbitan TV swasta terkenal yang menyaksikan penyanyi profesional lama atau berpengalaman dalam industri muzik bersaing dalam satu pentas.
Meskipun program ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada para artis dan orang ramai, tetapi masih ada yang tidak bersetuju dengan adanya GV ini.
Penyanyi veteran, Man Bai pada baru-baru ini menyatakan dirinya tidak berminat terbabit dalam program GV kerana menyifatkan format pertandingan itu sebagai memalukan penyanyi.
Terbaharu, penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob pula tampil menyelar dakwaan yang mengatakan pentas GV merupakan platform memalukan penyanyi senior.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Fazley berkata tuduhan tersebut dianggap tiada asas ditambah pula setiap peserta diadili barisan juri berpengalaman dalam bidang muzik.
“GV memalukan artis? Tolonglah, sebelum cakap buat kajian dulu! Kenyataan tersebut siap membidas barisan juri yang ternyata ada pengalaman dan asas muzik yang kukuh.
“Persoalannya, siapa kita nak persoalkan rezeki masing-masing. Dari GV musim pertama hinggalah sekarang, semua peserta GV mendapat suntikan semangat serta rezeki baru.
“Pihak produksi dan media memberikan sokongan tak berbelah bahagi terhadap semua peserta sehinggalah hari final. Itukan rezeki namanya, di mana bahagian ‘memalukan’ artis?” katanya.
Menurutnya, GV juga sudah membuka banyak pintu rezeki untuk setiap penyanyi yang bertanding sebelum ini.
Jelas Fazley, setiap komen pedas yang diberikan barisan juri iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat merupakan ilmu yang sukar untuk diperoleh ditempat lain.
“Saya tahu dan yakin setiap artis yang turut serta telah fikir masak-masak sampai hangit dah kuali sebelum akhirnya setuju untuk sertai program ‘pembuka rezeki baru’ ini.
“Komen pedas juri? Itu biasalah, saya punya kasut kilat setiap minggu kena komen pedas Datuk Syafinaz Selamat, suara kena tegur setiap hari dengan Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang.
“Mereka sentiasa pesan untuk cari jiwa dalam persembahan walaupun kami dah macam nak terbang roh atas pentas. Itu bukan memalukan, itu ilmu yang terlalu mahal yang bukan semua orang dapat,” jelasnya.
Menurutnya lagi, tidak mengapa sekiranya ada pihak kurang bersetuju tentang pentas GV tetapi tak seharusnya melemparkan kata-kata negatif.
“Kalau tak kena komen pedas, rugilah. Takkan nak makan daging salai masak lemak cili api letak laici? Mestilah kena masukkan cili padi berkilo-kilo baru ‘ngam’!
“Tidak setuju tak apa, patutnya dari GV1 dah kongsi komen begitu, bukan bila program dah jadi punca rezeki ramai orang! Termasuk jadi rezeki pahala percuma apabila segerombolan netizen membidas tajam.
“Saya sudah jadi artis sejak umur 17 tahun. Semua warga seni sudah jadi satu keluarga besar. Jari kelingking terhiris pisau, setiap bulu roma di badan mesti seriau rasanya!
“Tak perlu letak cuka dalam sebelanga nasi kenduri!’Chill’ saja dan berseronoklah menonton program okey,” ujarnya.
Meskipun Fazley tidak menyatakan nama individu yang memberi kenyataan itu, tetapi ramai percaya ia ditujukan kepada Man Bai.
Ini selepas penyanyi ‘otai’ tersebut menyifatkan Gegar Vaganza memalukan dan merendahkan artis selain mempersoalkan kredibiliti juri kerana tidak menobatkan penyanyi bagus sebagai penyanyi terbaik sewaktu minggu keempat yang lalu.
Malah Man Bai atau nama sebenarnya Abdul Rahman Osman turut mengakui pernah dijemput sebagai penyanyi jemputan dalam program itu namun dia membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut.