Gara-gara watak Imran, Ameerul Asyraf dakwa diintai ‘sugar mummy’

Gara-gara watak Imran, Ameerul Asyraf dakwa diintai ‘sugar mummy’

 

Demi komitmen terhadap lakonan, Ameerul Asyraf sanggup menolak permintaan isteri, Nurul Nasirah Khalid yang tidak selesa melihat dia menghidupkan babak mesra dengan pelakon wanita gandingan, seperti dilihat dalam drama rantaian, Lelaki Itu.

Mengakui isterinya cemburu, Ameerul bagaimanapun lebih akur dengan kehendak pengarah berbanding syarat Nurul yang baru dinikahi, kira-kira empat bulan lalu.

“Isteri ikut ke set penggambaran dan ketika dia lihat saya lakonkan babak intim bersama Che Puan Sarimah Ibrahim, dia tak boleh terima. Lalu isteri merajuk apabila pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, selepas saya pujuk dan ajak keluar, akhirnya isteri okay.

“Tidak dinafikan, apabila membawa watak ‘anak ikan’ dalam drama Lelaki Itu, memang ada babak bersentuhan dengan Sarimah. Sebelum ini, isteri tidak pernah melihat saya melakonkan babak mesra.

“Sebagai pelakon, saya kena patuh kehendak pengarah. Selepas lima tahun dalam dunia lakonan, inilah peluang untuk saya menyerlah. Kalau tidak, saya rugi.

“Walaupun isteri meletakkan syarat untuk tidak melakonkan babak mesra, saya terpaksa abaikan. Bagi saya, di lokasi penggambaran, pengarah tetap nombor satu dan isteri nombor dua,” katanya menurut Berita Harian.

Menerusi drama yang berjaya mencetuskan fenomena itu, Ameerul memegang watak anak ikan kepada Sharifah Qaidah lakonan Sarimah.

Ameerul atau nama penuh, Ameerul Asyraf Mohamad, 33, mengakui terasa dengan komen netizen yang bukan sahaja mempertikai pemilihannya membawa watak Imran dalam drama Lelaki Itu, malah, membandingkan dirinya dengan pelakon lain.

“Saya sedih apabila ada yang membandingkan saya dengan pelakon berwajah K-Pop seperti Hun Haqeem, Meerqeen, Nadhir Nasar dan Nazim Othman.

“Saya akui berwajah Melayu kalau hendak dibandingkan mereka. Tetapi, saya sudah buat yang terbaik dalam Lelaki Itu.

“Saya bersyukur diberi peluang oleh penerbit drama, Erma Fatima. Pengarah cakap, saya boleh melakonkan watak Imran itu.

“Cuma kena ‘tadah’ telinga untuk terima kecaman. Bila orang kecam bermakna lakonan saya berjaya,” ujarnya.

Disebabkan watak anak ikan, Ameerul berkata, dia mendapat banyak pengikut baharu dalam media sosial.

Lebih mengejutkan, katanya, dia turut mendapat perhatian golongan ‘sugar mummy’.

“Hendak kata ramai sangat pengikut baharu, tidaklah. Tetapi, adalah yang mula kenal dan mahu bergambar.

“Malah, ada golongan ‘sugar mummy’ yang meletakkan tanda suka pada foto dalam Instagram (IG). Saya dapat tahu selepas melihat profil mereka,” katanya.