Gara-gara miliki bulu beruang ruai dan kuku beruang madu, lelaki didenda RM13,000

Gara-gara miliki bulu beruang ruai dan kuku beruang madu, lelaki didenda RM13,000

 

Seorang lelaki didenda RM13,000 atau sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen, hari ini kerana kesalahan memiliki beberapa helai bulu burung ruai dan potongan kuku beruang madu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Azreena Aziz setelah Henry Barayan Sangkiat, 34, dari Sungai Bayan Ulu, Balingian mengaku bersalah atas dua tuduhan yang dibacakan terhadapnya masing-masing mengikut Seksyen 29 (1) (c) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 (Bab 26) dan Seksyen 29 (2) ordinan yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda RM25,000, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati ada memiliki dua helai bulu burung ruai atau nama saintifiknya Agusianus Argus dan enam potong kuku beruang madu atau nama saintifik Helarctos Malayanus yang merupakan haiwan dilindungi sepenuhnya tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal hidupan liar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.40 pagi, 9 April tahun ini di kawasan berhampiran Pasar Tamu Simpang Bekenu, Jalan Bekenu.

Tertuduh juga telah menyiarkan di media sosial untuk menjual bulu burung hidupan liar sebelum ditangkap oleh pegawai penguat kuasa dari Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Semasa tangkapan dilakukan, pihak penguatkuasa turut merampas dua jumbai terdiri daripada dua puluh lapan helai bulu burung, sekeping kuku beruang matahari yang digunakan sebagai rantai kunci, sebuah trak pikap dan telefon bimbit yang digunakan untuk mengiklan di media sosial.

Ketiga rayuan, peguam bela Ling Hui Chuan dari Biro Bantuan Guaman Cawangan Miri yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa adalah menjadi perkara biasa bagi penduduk tempatan di luar bandar menangkap hidupan liar dan menyimpan bulu burung untuk kegunaan sendiri.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh didenda RM10,000 atau enam bulan penjara, manakala bagi kesalahan kedua, tertuduh didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin bersama pegawai pendakwa Leonard Baring dan Willy Chin dari SFC.