Gara-gara mabuk, pasangan kekasih hempap bayi

Gara-gara mabuk, pasangan kekasih hempap bayi

Gara-gara mabuk, satu pasangan kekasih di Alhama de Murcia, tenggara Sepanyol tidak sedar bahawa mereka terhempap bayi lelaki mereka atas katil.

Akibat kejadian itu, mangsa berusia empat bulan meninggal dunia.

Susulan insiden berkenaan, pasangan itu disiasat pihak berkuasa atas kesalahan membunuh tanpa niat.

The Sun yang memetik laporan media tempatan menyatakan pegawai penyiasat yang tiba di lokasi kejadian mendapati pasangan itu masih dalam keadaan mabuk.

Menurut laporan sama, pasangan itu mengakui mereka masuk bilik yang menempatkan bayi lelaki mereka sedang tidur selepas mereka minum minuman beralkohol pada awal pagi Jumaat.

Keesokan paginya, kedua-duanya mendapati bayi itu sudah tidak bernyawa di tempat tidur di sebelah mereka.

Mereka kemudian menghubungi talian kecemasan.

Dalam pada itu, pakar forensik turut ditugaskan untuk menyiasat kematian bayi berkenaan.

Difahamkan, pasangan itu yang dikatakan mempunyai empat anak lain dipercayai warga Bolivia, tetapi usia mereka tidak didedahkan.

Seorang saudara difahamkan menjaga anak pasangan itu ketika mereka disoal siasat polis.

Setakat ini, mereka masih belum ditangkap.

Ia sementara menantikan keputusan bedah siasat mangsa.

Sementara itu, satu laporan media tempatan lain menyatakan bayi itu mempunyai tanda lebam yang jelas.

Laporan lain pula menyatakan polis tempatan menerima beberapa aduan daripada jiran mengenai muzik yang dipasang kuat.

Alhama de Murcia adalah sebuah bandar di wilayah Murcia dengan kapasiti penduduknya kurang 20,000 orang. – HM