Gara-gara ‘katak berprinsip’, Rafizi ‘bertegang urat’ dengan penyokong PH

Gara-gara ‘katak berprinsip’, Rafizi ‘bertegang urat’ dengan penyokong PH

 

BEKAS Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ‘bertegang urat’ dengan penyokong Pakatan Harapan (PH) di laman Twitter berhubung isu ‘katak berprinsip’.

Menurut laporan Malaysiapost, segalanya bermula apabila bekas Ahli Parlimen Pandan itu mempersoalkan keputusan kepimpinan PKR dan PH yang menerima dua bekas pemimpin Umno yang menjatuhkan kerajaan Melaka, sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kah3 (gelak) “katak berprinsip”. Istilah baru. Kalau kena kat muka kita #pengkhianat.

“Kalau konon untungkan kita “katak berprinsip”. Bahana jadi menteri 22 bulan prinsip semua jadi kabur,” ciapnya di Twitter semalam.

Rafizi dipercayai merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang mempertahankan keputusan PH menerima ‘katak berprinsip’.

Ia susulan keputusan PKR dan Amanah masing-masing menerima dua bekas pemimpin Umno iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan, untuk bertanding menggunakan simbol PH dalam PRN Melaka.

Sehubungan itu, Rafizi ‘diserang’ penyokong PH yang antara lain menyatakan beliau tidak sepatutnya mengkritik keputusan parti sedangkan telah membuat keputusan untuk berundur dari politik.

“Saya harap sahabat-sahabat di luar boleh faham kenapa saya tak nak terlibat (dalam politik). Bukan merajuk, bukan penakut. Saya dah buat yang terbaik dulu.

“Cuma saya tak nak terpalit dengan keputusan-keputusan yang saya tak boleh hadam atas alasan “strategi”, “taktikal” dan lain-lain. Prinsip itu maknanya tak berubah-ubah,” balas Rafizi.

Semalam teka-teki berhubung nasib bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan pada PRN Melaka terjawab apabila kedua-duanya diumum sebagai calon PH.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membuat pengumuman itu berkata Idris akan bertanding di DUN Asahan iaitu kerusi tradisi PKR, manakala Nor Azman kekal di Pantai Kundor, kerusi tradisi Parti Amanah.

Pada masa sama, Anwar berkata Idris dan Nor Azman masing-masing telah diterima sebagai ahli PKR serta Amanah.