Gara-gara ‘dipulau’, Yob Daha rosakkan tanaman penduduk untuk lepaskan perasaan

Gara-gara ‘dipulau’, Yob Daha rosakkan tanaman penduduk untuk lepaskan perasaan

GARA-GARA dipulau oleh kumpulannya, seekor gajah jantan berusia lebih 18 tahun ‘melepaskan perasaannya’ dengan merosakkan tanaman penduduk.

Tanaman yang diusahakan penduduk kampung sekitar Gerik musnah dikerjakan gajah yang diberi nama ‘Yob Daha’ itu sejak seminggu lalu.

Bagaimanapun Yob Daha akhirnya berjaya ditangkap oleh anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di ladang sawit dekat FELDA Bersia Timur, semalam.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusof Shariff berkata, gajah itu ditangkap susulan aduan diterima Pejabat Perhilitan Daerah Gerik berhubung gangguan mamalia itu yang merosakkan tanaman pisang, kelapa dan kelapa sawit milik penduduk sejak 13 Julai lalu.

Beliau berkata, pihaknya melalui Unit Tindakan Gajah (UTG) negeri Perak berjaya menangkap Yob Daha itu dalam tempoh tiga jam selepas usaha menjejakinya dimulakan seawal 7 pagi semalam.

“Gajah itu akan dipindahkan esok (hari ini), di mana operasi pemindahannya dimulakan jam 8 pagi membabitkan 15 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah serta lapan kakitangan Perhilitan Perak selain dibantu dua gajah denak bernama Rambai dan Abot.

“Yob Daha akan dipindahkan ke Taman Negara bersempadan antara Kelantan, Pahang, dan Terengganu. Kita tidak memindahkannya ke tempat asal kerana dibimbangi akan kembali mengganggu penduduk walaupun jaraknya sejauh 80 kilometer.

“(Tambahan) gajah jantan ini mungkin dipulau serta dikeluarkan dari kawanan gajah kerana bertindak nakal, bergaduh dan pelbagai faktor lain,” katanya.

Sumber: Malaysiapost