Gara-gara aksi joget Diva AA, Karnival Fiesta Raya Baling diarah tutup

Gara-gara aksi joget Diva AA, Karnival Fiesta Raya Baling diarah tutup

 

Peniaga yang juga pempengaruh media sosial, Eira Aziera kecewa dengan tindakan seorang artis terkenal sehingga mengakibatkan Fiesta Raya Baling di Dataran Taman Awam, di sini menjadi punca karnival berkenaan terpaksa dihentikan lebih awal.

Menerusi video dimuat naik peniaga berkenaan, dia kecewa dan kesal apabila khemah jualannya serta peniaga-peniaga lain diarahkan tutup.

“Aku betul-betul tak faham. MasyaAllah. Yang menari (artis) atas pentas, tergolek tu, tak dijemput pun. Tiada dalam aturcara majlis. Diva BB (pempengaruh) buka booth jualan di situ. 

“Dia (Diva BB) jemput artis datang ke booth dia. Bila ada artis ni, orang tariklah dia naik ke atas pentas. Nak suruh bagi cabutan bertuah.

“Lepas tu orang suruh menari, menyanyi. Depa pi menari dan ada seorang hamba Allah rekod dan tularkan video tersebut di media sosial. Dengan kapsyen (menaikkan kemarahan dan tarik perhatian ramai). Sedangkan orang (pengunjung) pun tak ada,” katanya.

Malah, penganjur juga meminta mereka untuk mengosongkan tapak perniagaan dengan kadar segera dalam tempoh 48 jam.

“Penganjur beritahu kepada semua vendor untuk kosongkan tapak dan kawasan perniagaan dalam tempoh 48 jam, apa salah kami sebagai peniaga sehingga kami yang dikenakan arahan tutup perniagaan.

“Walhal yang menari bukan kami, dia pun tiada dalam aturcara majlis. Tetamu tak diundang mereka pergi untuk pasang gerai, kebetulan dah nama pun artis, orang tariklah dia ke depan (pentas),” katanya.

@eiraaziera6699

Jumpa di ahkirat!!!

♬ Instrumen Sedih – Yuda pratama

Sementara itu, penganjurnya, Ahmad Zaki Yaacob membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan yang berlaku.

Jelasnya, kejadian yang berlaku pada program tersebut adalah di luar kawalan pihaknya dan tindakan artis tersebut hanya sekadar gurauan.

Katanya lagi, pengacara Azwan Ali tiada dalam senarai jemputan rasmi dan kehadirannya atas jemputan sahabat kepada selebriti itu yang turut berniaga di karnival tersebut.

“Saya bagi pihak penganjur dan Syarikat Maju Kedah Resourses memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Kedah dan umat Islam khasnya, Menteri Besar, Majlis Daerah Baling, Pejabat ADUN Bayu serta peniaga yang terlibat dalam Fiesta Raya Baling, baru-baru ini.

“Sesungguhnya segala yang berlaku itu di luar kawalan dan jangkaan di mana kehadiran Diva AA (Azwan Ali) di pentas hanyalah sekadar gurauannya untuk menarik pengunjung ke fiesta ini,” katanya ketika dihubungi Utusan.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan artis berkenaan bersama beberapa individu termasuk seorang pempengaruh menyanyi lagu dangdut sambil menari di atas pentas.

Bagaimanapun, tarian yang dilakukan oleh artis berkenaan dikatakan tidak sensitif, lebih-lebih lagi ia dilakukan ketika sambutan Nuzul al-Quran, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zaki berkata pihaknya telah menerima teguran keras daripada ADUN Bayu, Mohd Taufik Yaacob dan telah mengarahkan festival berkenaan ditutup.

“Maka kami dengan rasa tanggungjawab telah menutup sepenuhnya penganjuran acara itu semalam dan kami juga amat menyesali atas apa yang berlaku dan sekali lagi memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan isu tersebut,” katanya.