Dipanggil ‘rotation of money’, ini game pakej travel murah sampai ramai yang tertipu

Dipanggil ‘rotation of money’, ini game pakej travel murah sampai ramai yang tertipu
Pakej pelancongan dengan harga murah sering kali menarik perhatian, terutamanya bagi mereka yang ingin bercuti tanpa membebankan poket.
Namun tidak semua pakej pelancongan ditawarkan boleh dipercayai kerana sudah ramai yang menjadi mangsa penipuan.
Bagi mengelakkan anda menjadi mangsa penipuan, ikuti penjelasan yang dibuat oleh pengendali Instagram Trip Adik Beradik.
“Ayuh saya jelaskan permainan mereka. Game trip murah ini memang wujud. Ini dipanggil rotation of money.
“Contoh Januari, trip murah ke Korea RM2,990 siap penerbangan yang pastinya ramai akan serbu. Apabila ramai tempah, mereka akan buka trip Februari dengan harga yang sama.
“Hakikatnya pada Januari, harga trip sebenar mahal macam orang lain juga tapi disebabkan Februari ramai dah tempah sebab murah, mereka akan tarik duit Februari masuk ke Januari.
Harga pakej: RM2,990
Kos sebenar: RM3,990
“Mereka akan tarik RM1,000 daripada tempahan Februari dan yang Februari pula akan tarik Mac dan berterusan sehingga mereka tak boleh nak rolling,” ujar pemilik Instagram itu yang turut menawarkan pakej pelancongan dan umrah.
Menurut Trip Adik Beradik, ada juga pengendali pakej pelancongan yang menggunakan duit tempahan pelanggan untuk tujuan peribadi.
Malah, besar kemungkinan mereka yang mendapat tarikh lewat berdepan pembatalan ekoran kegagalan membuat pusingan modal.
“Itu belum lagi yang guna duit untuk kegunaan peribadi. Kalau dapat (tarikh) awal-awal, memang dapat pergi.
“Mana tahu kita dapat part yang tak boleh rolling? Jahanam,” ujarnya lagi.
Berikut merupakan senarai harga minimum yang masuk akal untuk setiap lokasi. Jika harga lebih rendah daripada senarai ini, jangan tempah.
Korea – RM4,500
Jepun – RM6,000 hingga RM8,000
Eropah – RM11,000 hingga RM15,000
Turkiye – RM6,000
New Zealand – RM11,000 hingga RM13,000
Australia – RM5,000 hingga RM6,000
India – RM4,000 hingga RM5,000
Artik – RM13,000
Iceland – RM13,000
Bagaimanapun ini hanyalah indikasi yang dibuat Trip Adik Beradik berdasarkan pengalaman mereka.
Jadi jika anda ditawarkan pakej yang lebih murah daripada indikasi di atas, ia agak berisiko dan kemungkinan ‘sangkut’ adalah tinggi.