Gambar tular itu bukan bapa saya – Anak mangsa MH370

Gambar tular itu bukan bapa saya – Anak mangsa MH370

 

Anak perempuan kepada Andrew Nari yang terbabit nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 menafikan gambar yang tular di media sosial adalah bapanya.

Maira Elizabeth berkata, dia mengetahui perkara itu sebaik dimaklumkan beberapa individu yang menghantar mesej peribadi di akaun media sosialnya.

“Saya ditanya sama ada lelaki itu (gambar tular) adalah bapa saya atau menyerupainya.

“Saya ingin jelaskan bahawa dia bukan bapa saya,” jelasnya di Instagram Story miliknya.

Maira turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menghantar mesej peribadi kepadanya selain memohon maaf kerana tidak dapat membalas kesemua mesej berkenaan.

Terdahulu, tular di Facebook satu hantaran memaparkan wajah beberapa individu yang dikatakan berada di pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di wilayah milik British iaitu Diego Garcia.

Gambar individu berkenaan dikatakan mangsa nahas MH370 termasuk ketua pramugara, Andrew atau menyerupainya.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru hilang dari radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, pada 8 Mac 2014.

Serpihan pesawat itu masih gagal ditemui walaupun usaha pencarian termasuk kerjasama antarabangsa sudah giat dijalankan sejak kehilangan pesawat berkenaan, sekali gus mencetuskan misteri berterusan.