Gaji suami cuma RM900, isteri berang majikan asyik potong RM100 sebab masuk kerja lewat

Gaji suami cuma RM900, isteri berang majikan asyik potong RM100 sebab masuk kerja lewat

 

Orang kata wang bukan segalanya, tapi zaman sekarang semuanya memerlukan duit untuk meneruskan kehidupan.

Walaupun pasangan suami isteri saling memahami antara satu sama lain, tanpa kewangan yang stabil pasti sedikit sebanyak akan menjejaskan kehidupan berumah tangga.

Begitulah luahan seorang wanita mengenai suaminya yang mempunyai gaji rendah, ditambah pula sikap majikan yang didakwa mengamalkan ‘pentadbiran’ kuku besi kerana melakukan kekerasan dan paksaan.

Berkongsi cerita, wanita itu berkata, suaminya menerima gaji bulanan sebanyak RM900 sejak beberapa bulan lalu dan kehidupan mereka hanya cukup-cukup makan.

Namun apa yang menimbulkan rasa tidak puas hatinya adalah sikap majikan suami yang dianggap kejam.

“Alhamdulillah aku bersyukur, tapi aku tak suka tempat kerja suami aku tu, orang atasan dia macam b*b*. Sejam lewat tolak RM100, sehari kerja bayar RM60 je.

“Lepas tu basic dan komisen berapalah sangat sebulan. Tak lebih dari RM2,000 pun, komisen pula tak boleh lebih dari RM500.

“Setiap kali lebih je mereka suka hati je tolak, konon over. Ya Allah, sampai hati mereka aniaya suami macam ni,” katanya menerusi luahan di laman X.

Berang dengan situasi berkenaan, dia menyarankan suaminya segera mencari pekerjaan lain yang lebih terjamin.

“Geram! Aku suruh laki aku cari kerja lain lepas raya haji ni,” ujarnya.

Turut terkesan dengan kesusahan suaminya, wanita itu mengakui gaya hidupnya juga tidak seperti dahulu kerana kini perlu berjimat-cermat dalam berbelanja.

“Dengan kehidupan sekarang ni memang sakit dan keras pula. Aku sebagai isteri, jangan cakaplah, mestilah macam-macam aku nak makan dan beli apa aku nak.

“Tapi disebabkan kewangan kami yang low ni, aku terpaksa reda. Sebab nak beli lauk dan barang anak lagi penting daripada apa yang aku nak,” luahnya lagi.

Selain itu, wanita berkenaan turut mendedahkan suaminya sukar untuk melakukan kerja-kerja berat setelah menjalani pembedahan lutut sebelum ini akibat kemalangan.

“Lutut kiri suami pernah operation masuk skru, jadi dia susah nak kerja berat. Doakan suami aku dapat kerja dan gaji yang berbaloi dengan hasil kerja dia,” katanya lagi.

Menerusi ruangan ciapan balas, rata-rata netizen bersimpati dengan nasib wanita itu, malah mencadangkan supaya suaminya membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berhubung dakwaan mengenai majikan tersebut.

“Tak boleh tolak macam tu, report pejabat buruh (pejabat JTK).

“Sebelum berhenti kerja, tolong buat report kat pejabat buruh. Good luck dan dipermudah urusan.

“Sedih pula rasa. Moga awak dan suami dimurahkan rezeki. Aku tak boleh baca orang kena tindas ke buli ni, rasa baran pula,” demikian antara komen netizen.