Gaji baharu Cristiano Ronaldo RM2.8 juta sehari

Gaji baharu Cristiano Ronaldo RM2.8 juta sehari

 

Gaji baharu Cristiano Ronaldo RM2.8 juta sehari

Kontrak baharu dua tahun Cristiano Ronaldo bersama Al-Nassr adalah yang paling lumayan dalam sejarah sukan, menurut satu laporan, dengan nilai asasnya mencecah £492 juta (RM2.85 bilion) sepanjang tempoh perjanjian itu.

Penyerang Portugal itu dilaporkan menerima kenaikan gaji besar untuk terus kekal bersama kelab Liga Pro Saudi yang disertainya pada Disember 2022 selepas meninggalkan Manchester United.

Syarat baharu itu, yang akan menyaksikannya melepasi usia 42 tahun, dikatakan termasuk gaji asas harian yang mencecah £488,000 (RM2.8 juta) sehari.

Menurut laporan akhbar The Sun, kontrak penyerang itu adalah yang paling mahal dalam sejarah sukan dan selain bayaran gaji yang luar biasa itu, Ronaldo turut dilantik sebagai ‘duta impian’ bagi negara Teluk berkenaan, sesuatu yang boleh menjadikan pendapatannya melebihi £500 juta (RM2.9 bilion) dalam tempoh dua tahun akan datang.

Selain itu, dia turut dikatakan menerima bonus menandatangani kontrak sebanyak £24.5 juta (RM142.2 juta) yang akan meningkat kepada £38 juta (RM220.6) sekiranya mengaktifkan tahun kedua dalam kontraknya.

Laporan itu turut mendakwa Ronaldo diberikan 15 peratus pegangan saham dalam kelab Al-Nassr, bernilai kira-kira £33 juta (RM191.5 juta). Secara keseluruhan, jika digabungkan dengan bonus seperti anugerah kasut emas dan kejuaraan Liga Pro Saudi, Ronaldo dijangka meraih lebih setengah bilion pound menjelang penghujung kontraknya.

Pengesahan mengenai kontrak baharu bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu diumumkan semalam, selepas beberapa bulan spekulasi bahawa dia mungkin meninggalkan kelab itu pada musim panas ini.

Bulan lalu, pemain berusia 40 tahun itu mencetuskan khabar angin akan keluar dari kelab berpangkalan di Riyadh itu apabila memuat naik mesej di media sosial yang dimulakan dengan ayat ‘bab ini sudah tamat’.

Catatan itu muncul selepas satu lagi musim tanpa trofi bersama Al-Nassr – kelab yang disertainya dari Manchester United – sekali gus mencetuskan khabar angin bahawa dia mungkin menyertai pasukan lain yang bertanding di Piala Dunia Kelab.

Namun selepas kejayaan Portugal dalam Liga Negara-Negara Eropah, Ronaldo mengesahkan bahawa dia akan kembali bersama Al-Nassr untuk musim akan datang.

Semalam, Ronaldo dan kelab itu mengesahkan keputusan berkenaan, dengan pemain itu menulis di X: “Bab baharu bermula. Semangat yang sama, impian yang sama. Mari cipta sejarah bersama.”

Musim lalu, Ronaldo menjaringkan 35 gol dalam 41 perlawanan di semua kejohanan dan muncul penjaring terbanyak Liga Pro Saudi buat musim kedua berturut-turut.

Secara keseluruhan, dia sudah menjaringkan 99 gol dalam 111 penampilan bersama Al-Nassr dan kini semakin hampir dengan impiannya untuk mencapai 1,000 gol dalam karier senior. Jumlah terkini yang direkodkan ialah 938 gol.