Bilik bersepah disyaki punca lelaki tikam rakan hingga maut

Bilik bersepah disyaki punca lelaki tikam rakan hingga maut
Bilik bersepah dipercayai punca pergaduhan membabitkan dua rakan hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut ditikam di sebuah rumah di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata kedua-dua mereka tiba bersama dari Kelantan kira-kira enam bulan lalu sebelum kejadian terbabit.
“Siasatan awal polis mendapati berlaku pertengkaran antara mereka mengenai hal dalaman rumah berkenaan isu bilik bersepah.
“Dalam pergaduhan itu, mangsa berusia 33 tahun maut dengan kesan tikaman pisau oleh rakannya (suspek) berusia 40 tahun,” katanya hari ini.
Katanya, saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.
Suspek direman enam hari sehingga 1 Julai untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media semalam melaporkan lelaki yang baru tiba dari Kelantan ke daerah ini ditemui maut dengan kesan tikaman di dada dipercayai akibat bergaduh dengan rakan serumahnya Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, Sungai Buloh.
Mohd Hafiz dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.26 malam kelmarin yang melaporkan pergaduhan di sebuah rumah yang menyebabkan mangsa ditikam.