Gajah cari makanan masuk kedai tak rosakkan harta benda awam

Gajah cari makanan masuk kedai tak rosakkan harta benda awam

Seekor gajah jantan yang dipercayai kelaparan memasuki kawasan kedai makan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa di sini dan menggeledah barangan di premis itu, dalam kejadian pada Ahad lalu.

Kejadian sekitar jam 10 malam itu disedari orang awam yang berada di situ sebelum bertindak merakam gelagat haiwan liar tersebut yang menjatuhkan tong sampah di kawasan sekitar dan cuba untuk masuk ke kedai bagi mendapatkan makanan.

Video kehadiran gajah itu tular di media sosial, bagaimanapun tiada sebarang kerosakan harta benda awam atau kecederaan berlaku.

Daripada maklumat dikongsi, gajah terbabit dikatakan berkeliaran di sekitar kawasan hentian itu sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya telah membuat kawalan di lokasi selepas menerima laporan berkenaan.

Paparan video tular menunjukkan seekor gajah jantan menceroboh kawasan premis makanan di Hentian Titiwangsa, Gerik Ahad lalu.
“Gajah berkenaan dihalau masuk semula ke hutan dengan selamat, namun tidak mustahil akan datang semula.

“Jadi kita nasihatkan orang awam jangan lakukan provokasi, sebaiknya jika terserempak jauhkan diri dan keluarga untuk keselamatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa gajah bukanlah sejenis haiwan yang jinak yang boleh didekati dengan mudah.

“Jangan sangka gajah itu jinak, sekiranya ia muncul hubungi segera Jabatan Perhilitan,” katanya.

Sumber Berita : https://www.sinarharian.com.my/article/100177/EDISI/Perak/Gajah-lapar-masuk-kedai-cari-makanan