Gagal tangani isu Covid-19, ‘salahkan’ Menteri Besar, Exco Kesihatan Perak digesa letak jawatan

Gagal tangani isu Covid-19, ‘salahkan’ Menteri Besar, Exco Kesihatan Perak digesa letak jawatan

 

Exco Kesihatan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin digesa meletakkan jawatannya oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang kerana didakwa gagal menjalankan tanggungjawab dan peranan menangani isu berkaitan Covid-19.

Gesaan itu dibuat selepas berlaku ketegangan semasa sesi penggulungan hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini apabila Akmal kerap diasak pembangkang yang meminta penjelasan pelbagai perkara berkaitan Covid-19 antaranya sejauh mana persediaan kerajaan negeri jika kes meningkat termasuk isu penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) di hospital.

Asmuni Awi (Amanah-Manjoi) berkata, Akmal jelas gagal melaksanakan tugasnya apabila gagal menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli dewan berkaitan Covid-19, sebaliknya Exco Kesihatan itu hanya membaca teks jawapan.

“Kami nak tahu usaha kerajaan menangani Covid-19 tetapi beliau ternyata tak tahu apa yang sepatutnya dilakukan selaku Exco Kesihatan. Apabila kita timbulkan apa peranan beliau, beliau tidak menjawab, itu yang menyebabkan berlaku ketegangan dalam dewan.

“Banyak keadaan beliau tak pernah turun padang. Dia perlu bantu menteri besar seperti turun lawat PPV, lihat keperluan yang ada, apa kekurangan di hospital, ambil tahu kebajikan petugas barisan hadapan tapi kita tak nampak dia turun padang, yang turun padang menteri besar saja.

“Beliau gagal laksanakan tugas. Kalau tak berani atau tidak tahu tanggungjawab, tak tahu jalankan tugas, elok letak jawatan, saya gesa beliau letak jawatan, diberikan kepada orang lain,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) berkata, sesi penggulungan oleh Akmal mengecewakan dan telah membawa emosi amarah ramai ADUN selepas Exco kesihatan itu seolah-olah meletakkan semua tanggungjawab menangani isu Covid-19 ke atas bahu menteri besar.

Katanya, adalah tidak wajar Akmal memberikan alasan bahawa struktur menangani Covid-19 dipengerusikan oleh menteri besar bersama setiausaha kerajaan negeri.

“Adalah jelas beliau enggan dan tak mampu menjawab soalan-soalan ahli dewan. Tapi tak mengapa jika beliau mengakui kelemahan, kegagalan dan meminta maaf, kami boleh kerjasama dan sedia terima permohonan maaf.

“Namun beliau bukan sahaja tak mohon maaf tapi apabila ditanya mengapa tak turun padang, beliau jawab ‘kalau terima jemputan menteri besar, beliau akan turun padang’.

“Itu jawapan kurang ajar. Tak pernah dengar Exco tunggu jemputan MB, ini satu penghinaan,” katanya.

Terdahulu, seperti dijangka DUN hangat ketika tiba giliran Akmal menggulung perbahasan apabila beliau diasak beberapa ADUN pembangkang yang tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan berhubung isu Covid-19, selain menuduh Exco tersebut tidak menjalankan tugasnya dengan baik.

Sebelum ini, beberapa ADUN mengkritik Akmal kerana didakwa lemah menjalankan peranannya menangani isu berkaitan Covid-19.

Sumber: FMT