Media Indonesia sindir Malaysia gagal layak ke AFC B-20

Media Indonesia sindir Malaysia gagal layak ke AFC B-20

 

Media Indonesia menyindir Malaysia selepas skuad Harimau Muda gagal untuk melayakkan diri ke saingan AFC B-20 Tahun yang bakal diadakan pada 2025 nanti.

Malaysia hanya mampu menamatkan saingan kelayakan kumpulan E di tangga keempat selepas skuad kendalian Juan Torres Garido meraih lima mata dalam empat perlawanan yang dihadapi.

Berbeza nasib dengan Malaysia, Indonesia berjaya menempah tempat dalam saingan edisi 2025 selepas mereka mencatat keputusan seri 1-1 ketika berdepan Yemen pada perlawanan terakhir sekaligus muncul sebagai pemenang kumpulan F dengan 7 mata secara keseluruhan.

Kejayaan ini serta-merta dijadikan bahan oleh media negara jiran dimana mereka menyindir Malaysia yang gagal untuk melepasi saingan peringkat kelayakan kali ini.

“Nanti mereka akan cakap gagal layak kerana berada dalam satu kumpulan dengan pasukan kuat. Dan kalau Indonesia layak, mereka akan cakap lawan kita adalah pasukan mudah,” tulis media dari negara seberang itu.

Di ruangan komen, media tersebut turut menjadikan kejayaan seri mengikat Korea 3-3 ketika Piala Asia awal tahun lalu sebagai satu-satunya pencapaian yang boleh ‘dibanggakan’ oleh Malaysia.

Sebagai rekod, peluang Malaysia menempah slot ke Piala Asia B-20 2025 boleh dianggap tertutup selepas tumbang 0-1 di tangan Tajikistan pada aksi ketiga Kumpulan E beberapa hari lepas.

Sebelum itu, Korea Utara disahkan sebagai juara kumpulan E selepas menewaskan Oman 1-0 dengan rekod tanpa kalah manakala Malaysia hanya mampu raih 4 mata hasil kemenangan ke atas Oman serta seri menentang Korea Utara.