Gagal hadir mahkamah kes vaksin Covid-19, polis cari Liyana

Gagal hadir mahkamah kes vaksin Covid-19, polis cari Liyana

 

Polis sedang mengesan individu bernama Liyana Razali bagi pertuduhan di mahkamah berkaitan kenyataan tidak benar yang dikeluarkannya mengenai suntikan vaksin Covid-19.

Wanita terbabit telah disiasat atas kesalahan menyebarkan berita palsu berkaitan dua murid dari sekolah di Perak telah meninggal dunia akibat suntikan vaksin Covid-19 pada September tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan itu telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan arahan supaya individu itu dituduh telah dikeluarkan di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam.

Bagaimanapun menurutnya, wanita itu gagal hadir ke mahkamah pada 21 Januari lepas sepertimana notis pemberitahuan yang telah diserahkan kepadanya.

“Meskipun mahkamah telah memberi tarikh pertuduhan baharu pada 10 Februari lalu, wanita itu masih gagal hadir ke mahkamah.

“Satu waran tangkap telah dikeluarkan oleh pihak mahkamah kepada individu tersebut.

“Pelbagai usaha telah dibuat oleh polis untuk mengesan wanita ini untuk hadir ke mahkamah, namun masih gagal dijumpai dan dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, polis amat mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam untuk mengesan individu tersebut bagi tindakan selanjutnya.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Zulkefly Mohd Mukhtar di talian 012-4336999.

“Berdasarkan rekod, alamat terakhir wanita terbabit adalah di Taman Sri Andalas, Klang Selangor,” katanya.