Gagal bayar tunggakan gaji pemain & pegawai, Perak FC dipotong 3 mata

Gagal bayar tunggakan gaji pemain & pegawai, Perak FC dipotong 3 mata

 

Tidak sampai sehari bergembira meraih kemenangan pertama musim ini, Perak FC dihadiahkan berita duka selepas pasukan itu sah dikenakan pemotongan tiga mata secara serta merta oleh First Instance Body (FIB).

Hukuman itu ‘dijatuhkan’ oleh FIB susulan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan simpanan sehingga November 2021 berdasarkan Akuan Berkanun (SD) yang dihantar pasukan itu bertarikh 15 Disember.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang dipengerusikan Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli-ahli jawatankuasa berkenaan kes tunggakan yang berlaku pada musim 2021.

Menurut Sheikh Mohd Nasir, skuad The Bos Gaurus gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada tarikh pertama yang ditetapkan oleh FIB iaitu pada 31 Mac 2022.

“Pihak pengurusan Perak FC sebelum ini telah bersetuju untuk menjelaskan baki tunggakan gaji tahun lalu membabitkan pemain dan pegawai pasukan utama dan simpanan berjumlah RM 934,729.42 pada 31 Mac 2022 namun mereka didapati gagal untuk berbuat demikian.

“Justeru itu, Jawatankuasa FIB yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk menjatuhkan hukuman pemotongan tiga mata kepada Perak FC.

“Jika Perak FC masih gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan pada tarikh akhir kedua (14 April 2022) maka pada 15 April 2022, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam lagi mata dalam saingan Liga Perdana dan pengurangan dana.

“Sekiranya Perak FC masih gagal membuat bayaran tunggakan gaji terbabit sebelum atau pada 21 April 2022, maka pada 22 April 2022, MFL akan memanjangkan kes ini kepada FIB bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan sama, MFL turut mengesahkan badan pengendali liga itu sudah menerima surat daripada Perak FC berhubung pelabur baharu yang berminat untuk mengambil alih melalui surat tawaran (LOI) pada 19 Mac 2022.

Selepas itu, Perak FC menghantar pemakluman mengenai tawaran mengambil alih dan pemilikan Perak FC Sdn. Bhd pada 21 Mac 2022.

“Bagaimanapun, Perak FC belum menghantar sebarang butiran rasmi atau bukti berkenaan kemampuan pelabur baharu (proof of funds) yang bersedia untuk mengambil alih Perak FC pada atau sebelum 22 Mac 2022.

“Sekiranya Perak FC masih gagal mengemukakan dokumen rasmi sehingga 22 April 2022, kes ini akan dibawa kepada FIB untuk pertimbangan lanjut sebelum Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan mengenai status Perak FC,” katanya.