Gadis Melayu ini dipuji fasih berbahasa Mandarin ketika ajar murid
Umum mengetahui Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan bangsa. Kepelbagaian inilah yang menjadikan Malaysia unik di mata dunia.
Lazimnya, kebanyakan individu di negara ini boleh menguasai lebih dari satu bahasa seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau bahasa ibunda mereka sendiri.
Namun, ada juga di antara mereka yang tanpa mengira latar belakang fasih bercakap menggunakan bahasa ketiga yang lazimnya digunakan oleh bangsa lain antaranya seperti Bahasa Mandarin.
Kadangkala, kemahiran yang dimiliki inilah menyebabkan timbul rasa kagum dalam diri individu yang mendengar.
Begitulah yang dihadapi oleh seorang wanita Melayu apabila dia dipuji oleh individu bangsa Cina yang terdengar dia fasih berbahasa mandarin.
Berkongsi kisah itu, menerusi video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok @mandarinbeginner_tuition, wanita berkenaan dikatakan sedang mengajar bahasa Mandarin secara dalam talian ketika berada di sebuah kedai makan.
Apa yang menjadi perhatian adalah tindakan pemuda Cina yang duduk berhadapan dengannya memuji dan menegur kepetahan wanita tersebut fasih berbahasa Mandarin.
Pada mulanya, lelaki itu serta rakannya dikatakan memandang wanita berkenaan berulang kali ketika dia sedang mengajar anak muridnya secara dalam talian.
Sebaik sahaja kelas tamat, lelaki itu terus memuji wanita tersebut dan mengatakan penggunaan bahasa Cinanya amat bagus.
Malah, lelaki berkenaan turut memuji kepetahan anak murid wanita itu apabila dia mengetahui bahawa pelajar berkenaan merupakan pelajar Melayu.
Jelas wanita berkenaan kepada pemuda tersebut, anak muridnya itu merupakan pelajar Melayu yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Tambah wanita itu lagi, dia hanya sekadar mengajar asas dan bacaan Bahasa Cina kepada pelajar berkenaan.
Malah, ketika ditanya oleh pemuda terbabit adakah dia seorang guru, jelas wanita itu, dia merupakan seorang freelance tutor dan bekerja sebagai guru kontrak yang mengajar Bahasa Cina di sebuah sekolah agama.
Sekali lagi, kedengaran lelaki itu tidak henti memuji wanita berkenaan kerana kefasihan bahasa Mandarin yang dimilikinya.
@mandarinbeginner_tuition
Video yang telah mendapat 1.5 juta tontonan itu nyata menarik perhatian ramai. Rata pengguna media sosial turut meluahkan rasa kagum dan memuji kehebatan wanita itu yang fasih berbahasa Cina.
Malah, ada yang turut berkongsikan pengalaman sendiri berhadapan dengan situasi yang sama apabila mereka turut dipuji oleh masyarakat kerana kefasihan mereka itu.
Tidak kurang ada juga warganet yang meminta tips dan menyatakan keinginan untuk menguasai bahasa mandarin.