Gadis mangsa kemalangan jalan berlubang sedih nasib tak dipeduli

Gadis mangsa kemalangan jalan berlubang sedih nasib tak dipeduli

Seorang gadis yang menjadi mangsa kemalangan akibat jalan raya berlubang sedih apabila nasibnya sebagai rakyat biasa tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Pengguna Twitter @_izzahkay berkata akibat kemalangan itu, dirinya tidak dapat menghadiri peperiksaan kerana kecederaan di muka dan anggota badan.

”Langgar lubang punya pasal tak boleh ambil peperiksaan, sedih tu Allah sahaja yang tahu.

”Tetapi saya rakyat marhaen, seribu kali pun langgar lubang tiada tindakan,” katanya.

Gadis itu turut menasihatkan pengguna jalan raya agar memakai dan menggunakan topi keledar yang betul.

”Siapa yang bawa motorsikal laburlah pada topi keledar yang elok dan jangan lupa ikat kemas sebab kita tak tahu bila kita kemalangan.

”Alhamdulillah tiada kecederaan bahagian kepala cuma pada bahagian bibir kena jahit sikit sebab cermin topi keledar separuh saja,” katanya.

Hantarannya mendapat simpati ramai di ruangan komen, ada yang menasihatkannya agar mengambil tindakan undang-undang.

“Awak buat laporan polis. Boleh adu atau saman tuntutan ganti rugi JKJR sebab jalan tak selamat. Mereka akan bayar awak sejumlah ganti rugi (perubatan, kesihatan),” catat Amoi Anje.

Tahun lalu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar jatuh basikal akibat terlanggar jalan berlubang ketika berkayuh di Banting, Selangor.

Kemalangan itu menyebabkan Khairy mengalami kecederaan di muka.

Beberapa hari kemudian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat tampil memohon maaf kepada Khairy dan mengambil tindakan segera menutup lubang di Jalan Kampung Sri Cheeding. – CC