“Malaysia lebih selamat dari Jepun” – Gadis Jepun kongsi pengalaman naik tren di Malaysia
“Malaysia lebih selamat dari Jepun” – Gadis Jepun kongsi pengalaman naik tren di Malaysia
Pengalaman menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api sering kali berbeza mengikut negara.
Menariknya, seorang gadis Jepun baru-baru ini telah menarik perhatian ramai selepas berkongsi pengalamannya menaiki tren di Malaysia.
Menurut gadis itu, pengalaman menaiki tren di Jepun boleh menjadi kurang menyenangkan, terutamanya bagi wanita.
“Di Jepun, terdapat “Butsukari Otoko” (atau ‘Bumping Man’), merujuk kepada lelaki yang sengaja melanggar wanita di kawasan stesen atau dalam tren.
“Selain itu, terdapat ramai lelaki yang suka mengambil kesempatan dan berkelakuan tidak senonoh di dalam tren,” katanya.
Situasi ini menggambarkan betapa wanita sering kali berasa kurang selamat dan perlu berjaga-jaga apabila menaiki tren di Jepun.
Sebaliknya, pengalaman gadis ini di Malaysia nyata berbeza.
Menurutnya, dia berasa lebih selamat dan selesa semasa menaiki tren di Malaysia.
“Di Malaysia, tiada sesiapa yang dengan sengaja melanggar saya.
“Tiada sesiapa yang ‘menyentuh’ saya,” katanya.
Umum mengetahui, pengalaman menaiki tren di Malaysia adalah istimewa kerana adanya gerabak khas untuk wanita, yang dikenali sebagai “women-only coach”.
Tujuannya adalah untuk memberikan rasa selamat dan privasi kepada wanita semasa menggunakan pengangkutan awam.
Terdahulu, seorang Minah Saleh turut memuji langkah Malaysia menyediakan gerabak khas tersebut dalam perkhidmatan kereta api.
Katanya, inisiatif ini menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap keselamatan dan keselesaan wanita, satu langkah yang patut dicontohi oleh negara lain.