Gadis diperkosa bapa kandung selepas mengadu dicabul teman lelaki
Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib menimpa seorang gadis yang bukan sahaja dicabul oleh teman lelaki, bahkan diperkosa bapa kandung.
Mangsa dirogol apabila mengadu kepada bapanya berusia 47 tahun mengenai dirinya dicabuli kekasih berusia 14 tahun.
Kejadian berlaku di Kota Batam di Kepulauan Riau, Indonesia. Mangsa dicabuli kekasihnya di Bengkong, pada Februari lalu.
Dilaporkan, bapa kandungnya tidak lagi tinggal bersama selepas bercerai dengan ibunya.
Pada awalnya, bapa kandungnya meminta anaknya itu tinggal bersamanya dengan alasan untuk bertenang di atas kejadian yang berlaku.
Namun sebaliknya bukan melindungi, tetapi si bapa memperkosa anaknya sehingga mangsa semakin trauma.
Mangsa kemudian pulang ke rumah ibunya, tetapi tidak berani menceritakan kejadian yang berlaku kepada sesiapa pun.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bengkong, Inspektor Marihot Pakpahan berkata, beberapa hari kemudian bapanya melaporkan mengenai pencabulan yang dilakukan suspek terhadap anak perempuannya.
Polis menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa dan mendapati mangsa dirogol berulang kali.
Mangsa akhirnya mendedahkan bapanya sendiri turut melakukan perkara sama ke atasnya.
Susulan pendedahan itu, bapa dan kekasih mangsa ditahan untuk siasatan lanjut.